Anak Malaysia kesal isu syarikat arak-SJKC

Mohammad Rosharizan Mohd Rozla
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menyatakan kekesalan yang mendalam atas kejadian sumbangan syarikat arak kepada sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang.

Pengerusinya, Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, pihaknya amat bimbang dengan trend ini dan menggesa tindakan segera diambil untuk menghentikan amalan ini, dan difahamkan bahawa kejadian ini bukanlah kali pertama berlaku di sekolah SJKC tersebut.

- Advertisement -

“Pihak sekolah telah melanggar Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3 2008 yang dengan jelas melarang penerimaan sumbangan daripada aktiviti yang melibatkan perjudian, rokok, dadah, dan arak.

“Hal ini kerana ia tidak menyumbang secara positif terhadap perkembangan jasmani, emosi, sahsiah, sosial, intelek dan kerohanian murid,” katanya.

Terdahulu, tular mengenai gambar yang memaparkan Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu yang berdiri di atas pentas sambil tersenyum memegang replika cek yang terpampang logo arak jenama terkenal sewaktu majlis konsert amal bagi mengumpulkan dana membina dewan serbaguna yang baharu di sekolah tersebut.

Tambah beliau, tindakan ini juga bercanggah dengan ketegasan pihak kerajaan di dalam isu sumbangan seperti kek, hadiah dan lain-lain semasa sambutan hari guru, perayaan dan lain-lain sambutan.

Namun akhirnya, menurut Rosharizan, wakil pihak kerajaan sendiri yang sanggup bertoleransi dan berkompromi secara mesra dengan syarikat arak atas nama pendidikan.

“Oleh itu, Anak Malaysia mencadangkan agar tindakan tatatertib diambil terhadap pihak yang terlibat dan Timbalan Menteri berkenaan diberikan surat tunjuk sebab serta diperingatkan bahawa tindakan itu bertentangan dengan surat pekeliling. 

“Kami juga menggesa pihak berwajib memastikan perkara ini tidak berulang pada masa hadapan. Penglibatan Timbalan Menteri mesti dipandang serius oleh Kerajaan Madani,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/7/2024

- Advertisement -