
MOGYOROD: Pemandu F1 pasukan Red Bull, Max Verstappen enggan meminta maaf di atas kekasaran bahasa percakapannnya melalui radio pasukan, ketika berlangsung perlumbaan Grand Prix Hungary lewat malam tadi.
Dalam perlumbaan yang didominasi pasukan McLaren itu, Verstappen menjadi kecewa dan marah apabila beliau turun dari kedudukan ketiga ke tempat kelima berikutan pelanggarannya dengan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton dari pasukan Mercedes, lapor Sky Sports.
Beliau berulang kali menggunakan bahasa yang kasar untuk mengkritik prestasi kereta RB20 yang dipandunya, yang telah membantu dirinya mendapatkan kelebihan 76 mata dalam kedudukan pemandu keseluruhan,selain turut mengeluh dengan pilihan strategi yang dibuat oleh pasukannya semasa perlumbaan.
“Saya rasa kita tidak perlu meminta maaf. Saya cuma rasa kita perlu melakukan kerja yang lebih baik.
“Saya tidak tahu mengapa orang fikir anda tidak boleh bersuara di radio. Ini adalah sukan. Jika sesetengah orang tidak menyukainya, maka duduk di rumah,” katanya.

Walaupun kebanyakan pemerhati percaya bahawa Verstappen adalah penyebab utama pelanggarannya dengan Hamilton selepas tayarnya terkunci, beliau mengkritik pesaing lamanya dan mencadangkan pemandu Mercedes itu perlu dipersalahkan kerana bergerak ketika sedang membrek.
“Hari ini, ketika sedang brek, dia terus membelok ke kanan dan sebab itu saya juga terkunci kerana saya ingin bergerak.
“Tetapi saya melihat kereta beliau terus menghampiri saya. Jika tidak, kami mungkin sudah kemalangan. Saya terpaksa memberhentikan kereta itu, sebab itu tayar saya terkunci,” katanya.
Perlumbaan yang berlangsung di Litar Hungaroring itu menyaksikan ianya didominasi oleh pasukan McLaren apabila dimenangi oleh Oscar Piastri, dengan tempat kedua dimenangi Lando Norris dari pasukan yang sama, manakala Lewis Hamilton menduduki tempat ketiga. -Agensi/– HARAKAHDAILY 22/7/2024











