Umat Islam perlu bersatu pertahan Kedah Bebas Judi

Ahmad Yahaya
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyeru seluruh masyarakat Islam di negara ini supaya bersatu mempertahankan dasar Kedah Bebas Judi yang menjadi polemik kebelakangan ini.

Ketua DUPP, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya berkata, pihaknya menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Kerajaan Negeri Kedah atas usaha sedaya upaya mempertahankan dasar tersebut meskipun keputusan mahkamah membenarkan pihak lain membuat semakan kehakiman terhadapnya.

- Advertisement -

“Seharusnya usaha murni ini turut digembleng oleh seluruh anggota masyarakat yang cintakan Islam dan bencikan aktiviti perjudian yang merosakkan masa depan negara. 

“Sepatutnya pada saat ini kita semua bersatu pada titik yang sama kerana pengharaman judi dalam Islam adalah suatu ijma’ (kesepakatan penuh) para ulama’.

“Justeru, bagaimana mungkin kita menyibukkan diri dengan perkara khilafiyah sedangkan dalam masa yang sama kita berhadapan penentangan terhadap perkara yang jelas ijma’ dalam agama?” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

DUPP menurutnya, turut berpandangan bahawa prinsip federalisme juga harus dihormati dan ditegakkan kembali dalam urustadbir negara. 

Menurutnya, garis pemisah antara bidang kuasa Persekutuan mahupun Negeri sangat jelas dalam aspek penutupan premis perniagaan yang menjalankan aktiviti perjudian di peringkat negeri. 

“Sewajarnya ia diberikan hak sepenuhnya kepada sebuah Kerajaan Negeri yang mendapat sokongan rakyat melalui sistem demokrasi. 

“Ironinya, prinsip sedemikian langsung tidak dihormati bahkan dibakulsampahkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di Malaysia.

“DUPP akan terus mendukung usaha mempertahankan dasar tersebut bahkan mengajak seluruh umat Islam supaya meninggalkan perbahasan tidak perlu dan bersatu di bawah payung amar ma’ruf nahi munkar yang ada di depan mata kita pada hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024

- Advertisement -