Pesara tulang belakang pentadbiran, wajar dihargai

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Pesara kerajaan adalah tulang belakang kepada pentadbiran semasa mereka berkhidmat, dan jasa mereka harus dihargai.

- Advertisement -

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tanpa kerjasama dan komitmen pesara, tidak mungkin sesebuah negeri atau negara dapat berfungsi dengan baik.

“Tuan-tuan adalah enjin pelaksana bagi sesebuah negara. Datanglah pimpinan negara yang hebat macam mana sekali pun, kakitangan-kakitangan atasan yang mempunyai ijazah yang berjela-jela di atas merangka, tetapi jika tidak ada kakitangan perkhidmatan awam pelbagai kategori, kerja tak jalan.

“Point saya ialah dalam kita mengurus tadbir sesebuah negeri, negara, syarikat, organisasi, pertubuhan, semua di antara kita adalah sama penting dengan peranan masing-masing.

“Peranan tak sama. Tanggungjawab tak sama, ada berat ada nampak ringan. Nampak ringan pada orang lain tetapi kalau orang itu tak ada tak jalan kerja,” katanya.

Beliu berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari KUPEKMAS Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER), di sini, hari ini.

Menurutnya, pada zaman Saidina Umar al-Khattab telah dilaksana sistem pemberian ganjaran berdasarkan gred dan kedudukan gaji termasuk peruntukan untuk persaraan.

“Persaraan ni bukan cerita baru pada zaman sekarang ini, tetapi pada zaman kegemilangan Islam pun telah ada diperkenalkan termasuklah juga peruntukan kepada isteri-isteri yang suaminya meninggal.

“Pada zaman sahabat pun sudah ada kerana dinilai budi dan jasa mereka kepada masyarakat. Kunci kata yang penting di sini ialah yang diamalkan oleh Saidina Umar al-Khattab ialah jasa dan budi mereka yang memberi kepentingan kepada masyarakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2024

- Advertisement -