Reformasi tempang dan pincang

- Advertisement -

20 September 1998, hampir 26 tahun lalu, landskap politik Malaysia berubah apabila Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dipecat dan ditangkap atas pelbagai tuduhan termasuk seksual dan rasuah. Gerakan menuntut keadilan buat beliau yang didakwa dizalimi mendapat sambutan rakyat sehingga ribuan sanggup turun ke jalanan melaungkan slogan “Reformasi”.

Reformasi menjadi slogan baru politik Malaysia, bukan sekadar laungan menuntut Anwar diadili dan dibebaskan, tetapi Reformasi juga membawa tuntutan untuk memperbetulkan institusi negara di Malaysia yang didakwa telah tempang dan pincang bawah kerajaan yang ada. Anwar dan penyokongnya mendedahkan punya pelbagai bukti salah laku, rasuah, salah guna kuasa dalam pentadbiran yang ada.

- Advertisement -

Berkotak-kotak bukti didakwa ada dalam simpanan Anwar dan penyokongnya. Kiranya perjuangan ini berjaya, Anwar dan penyokongnya berjanji akan membawa perubahan kepada institusi negara dan membina Malaysia yang lebih baik, adil dan sejahtera buat semua. Yang ada akan dirobohkan lalu dibina Malaysia yang baru.

Itu 26 tahun lalu. Hari ini Anwar tidak lagi merengkuk dalam penjara tetapi selesa sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke 10. Parti beliau dan penyokong tegarnya (kecuali yang telah dipecat dan tercicir) kini memerintah negara bersama beberapa parti lain dalam gabungan PH-BN.

Sepatutnya dengan kedudukan ini, setelah berhempas-pulas rakyat di jalanan mengorbankan diri untuk menaikkan beliau atas keyakinan pada perjuangan “Reformasi” itu, bolehlah rakyat dan negara menikmati apa yang telah diperjuang dan dijanjikan. Tetapi malangnya tidak dan ramai merasakan diri telah diperdaya akibat termakan janji-janji manis yang rupanya palsu.

Kos kehidupan rakyat yang dijanji akan turun apabila menang perjuangan “Reformasi”, minyak turun, tol dihapus, PTPTN dimansuhkan hari ini tidak menjadi. Sebaliknya kesejahteraan rakyat yang dijanjikan itu gagal tercapai apabila kos hidup rakyat semakin mencekik dan menghimpit kehidupan.

Diesel naik, harga elektrik dan air naik, harga barangan dan perkhidmatan turut naik, pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan kenaikan ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat bawahan yang telah membuta memberikan sokongan semasa “reformasi” bergema di jalan raya dahulu.

Janji menjadi lebih baik, lebih adil dari pentadbiran dulu pun makin dimungkiri. Bermula dengan pembebasan DNAA 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno yang kini Timbalan Perdana Menteri Kerajaan PH-BN. Ramai yang kecewa dan terperanjat.

Terkini keengganan Speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negeri Selangor mengisytiharkan kekosongan 6 kerusi Parlimen dan kerusi DUN Selat Klang, Selangor lantaran insiden lompat parti, semakin menaikkan kegusaran rakyat yang semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan hari ini.

Perlembagaan Persekutuan pun sudah berani dimain dan dipolitikkan, menolak dari membela hak rakyat yang sepatutnya diwakili oleh parti pilihan mereka adalah kemuncak pencabulan terhadap perjuangan “Reformasi” 26 tahun dahulu.

Rupanya bertaut pada kuasa dan kedudukan lebih penting dari tunduk pada suara dan kehendak rakyat. Jika kuasa dan kedudukan terancam, segala janji bulan dan bintang boleh sahaja dicampak ke tepi, biar tergadai segala maruah dan prinsip.

Sesungguhnya pengkhianatan ini tidak boleh diselindungi lagi dan sudah mula disedari rakyat. Rakyat di bawah semakin rimas dan terhimpit sehingga mereka dapat melihat bahawa ketempangan dan kepincangan hari ini lebih teruk dari dulu. Di Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap, mereka menolak calon PH-BN dengan majoriti yang besar.

Semangat Sungai Bakap dijangka terus melonjak dan bergelombang, nasib dan kepentingan rakyat perlukan pembelaan dan mereka yang khianat ini. Bangkitlah kita cukup-cukuplah diperdaya. – HARAKAHDAILY 19/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -