
KOTA BHARU: Seramai tiga anak Kelantan daripada 14 pelajar menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2024 hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Seorang daripada tiga pelajar terbabit merupakan anak kepada Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi, iaitu Muhammad Akman Sukiman.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, beliau kagum apabila mendengar penerima tersebut datang ke Istana Negara untuk menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong semalam.
“Amat tersentuh hati saya apabila mereka menyebut ‘ambo oghe Kelate Dato’, nok mari ambik Biasiswa Yang di-Pertuan Agong”.
“Sebak hati saya mendengarnya, hebat anak-anak Kelantan yang menerima biasiswa tersebut,” katanya pada catatan di laman sosialnya.
Mohd Nassuruddin juga berkata, dua daripada mereka menerima biasiswa bagi pengajian peringkat PhD dan seorang lagi sarjana.
Terdahulu, beliau bertemu dengan ketiga-tiga pelajar tersebut ketika mengiringi Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-266 di Istana Negara.
Sementara itu, Muhammad Aiman dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima biasiswa bagi pengajian peringkat PhD bidang persekitaran.
Seorang lagi pengajian peringkat PhD, Toh Shek Man dari Universiti Putra Malaysia (UPM) melakukan penyelidikan berkaitan kanser.
Manakala penerima biasiswa peringkat sarjana, Nasihah Mohd Zahid dari Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang nanotechnology.
BYDPA mula diperkenalkan pada tahun 2006 menaja calon berprestasi tinggi dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.
Sehingga tahun ini sebanyak 19 sesi penawaran biasiswa dilaksanakan di mana 212 rakyat Malaysia menerima penajaan BYDPA iaitu 107 penerima peringkat PhD dan 105 lagi sarjana. – HARAKAHDAILY 19/7/2024




















