Masalah pengairan sawah di Gong Manok ditangani

- Advertisement -

PASIR PUTEH: Kerajaan negeri akan berusaha menyelesaikan masalah dihadapi 53 pesawah di Kampung Gong Manok, Semerak dekat sini yang menghadapi masalah pengairan dan pemilikan tanah.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sawah seluas 236 yang melibatkan 53 pesawah menghadapi kesukaran untuk meneruskan kerja-kerja penanaman padi.

Katanya kawasan jelapang penanam padi yang agak luas berbanding di tempat lain seperti diberitahu Kumpulan Pengguna Air Gong Manak.

“Selain masalah bekalan air dan kos yang meningkat, isu pemilikan dan status tanah antara isu yang perlu diselesaikan dengan kerjasama semua pihak,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya.

Sebelum itu beliau bersama ADUN Semerak, Norsham Sulaiman serta wakil-wakil Jabatan Pertanian Kelantan dan IADA berbincang dengan pesawah yang menghadapi masalah.

Sementara itu Norsham berkata, sebelum ini kerajaan negeri membantu menyediakan pam bergerak, pembinaan kolam takungan air dan telaga-telaga tiub dengan peruntukan sejumlah RM300,000.

“Insya-Allah kerajaan negeri bersama IADA akan terus mencari kaedah dan cara terbaik untuk membantu pesawah khususnya di kawasan Gong Manok.

“Sumbangan kepada pesawah akan disalur dalam masa terdekat bagi tambahan pembinaan telaga tiub di kawasan berkenaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -