Kesan kenaikan harga diesel hantui penduduk Nenggiri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Isu kenaikan harga diesel yang menjadi antara punca berlaku lonjakan harga barangan keperluan harian tetap menarik perhatian pengundi di DUN Nenggiri.

Lebih-lebih lagi Nenggiri merupakan kawasan yang luas bersempadan dengan Dabong, Kuala Balah di jajahan Kuala Krai dan Perak.

- Advertisement -

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, sentimen kemarahan rakyat terhadap kenaikan harga diesel masih berpanjangan sehingga sekarang.

Katanya, DUN Nenggiri merangkumi kawasan yang luas sehingga ada tempat hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda dan bot, memberi kesan berganda dengan kenaikan harga diesel.

Dr Wan Nik Wan Yussof

“Apa yang berlaku di Sungai Bakap juga dialami penduduk di Nenggiri, malah lebih terkesan lagi kerana lokasinya berada di kawasan pedalaman.

“Peningkatan sara hidup bukan sahaja dialami penyokong PAS, malah ia turut dihadapi penyokong Umno dan Pakatan Harapan. Reaksi keluhan rakyat dapat dilihat dengan jelas,” katanya di sini.

Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri akan diadakan pada 17 Ogos ini berikutan kerusi tersebut diisytiharkan kosong berikutan bekas Adun Mohd Azizi Abu Naim didapati melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Dr Wan Nik berkata, isu kenaikan kos sara hidup rakyat bukan perkara kecil, sebaliknya kerajaan Madani sibuk bercakap mahu menjimatkan wang negara.

Begitu juga kelihatan tiada kekuatan politik kerajaan sekarang bagi membentang Rang Undang-Undang (RUU) 355 untuk memartabatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

“Lebih-lebih lagi di Nenggiri majoriti pengundi merupakan orang Islam sudah tentu mereka mengharap keseriusan kerajaan bagi membentang usul RUU 355 selepas kajian mengenainya sudah dibuat kerajaan lama.

“Namun apa yang berlaku sekarang kerajaan Madani memberitahu RUU 355 masih lagi dalam penelitian,” ujarnya.

Menurutnya juga enam kerusi parlimen bekas ahli parlimen Bersatu yang dikekalkan Speaker Dewan Rakyat memberi kesan moral terhadap kerajaan Madani.

Kata beliau berdasar banyak hujah pakar undang-undang dan perlembagaan Speaker Dewan Rakyat menutup ruang demokrasi selepas Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan. – HARAKAHDAILY 18/7/2024

- Advertisement -