
KUALA LUMPUR: Penyelidikan telah menunjukkan bahawa pendedahan kepada iklan alkohol boleh mempengaruhi kecenderungan minum dalam kalangan remaja.
PAS Terengganu dalam kenyataannya pada hari ini berkata, perkara itu telah meningkatkan risiko pengambilan alkohol pramatang minum secara berlebihan dan kajian jelas menunjukkan bahawa pemasaran alkohol ini, sering kali disasarkan kepada golongan muda, termasuk pelajar sekolah.
“Sudah tiba masanya polisi yang lebih ketat dikenakan.
“Kita perlu mengehadkan iklan alkohol di kawasan yang sering dikunjungi oleh remaja seperti sekolah, pusat beli-belah, dan kompleks sukan,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sebagai sebuah kerajaan yang kononnya berjuang untuk kesejahteraan rakyat, isu pemasaran alkohol kepada golongan muda nampaknya dibiarkan begitu sahaja.
“Walaupun syarikat-syarikat ini mendakwa bahawa iklan mereka mematuhi peraturan industri yang kononnya menghalang disasarkan terhadap remaja, tetapi bukti menunjukkan bahawa sistem peraturan sendiri ini sering gagal, malah ia langsung tidak melindungi golongan muda daripada terdedah kepada iklan alkohol,” jelasnya.
Selain itu juga, tambah kenyataan itu, syarikat alkohol dengan liciknya menggunakan pelbagai saluran pemasaran seperti televisyen, internet, dan media sosial.
“Bahkan, mereka menyalurkan tajaan kepada institusi pendidikan atas nama tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Bagaimana ini boleh dibenarkan (berlaku)?
“Apakah kerajaan kita begitu sibuk sehingga terlepas pandangan bahaya yang sedang mengancam generasi masa depan kita ini?
“Apakah kerajaan kita begitu naif atau memang sengaja membiarkan perkara ini berlarutan?” soal kenyataan itu lagi.
Dengan itu, PAS Terengganu mencadangkan tajaan program yang melibatkan institut pendidikan ini dihentikan dan diharapkan kerajaan berani mengambil langkah tegas dan tidak sambil lewa.
“Lindungilah institusi pendidikan dan pelajar sekolah dari promosi syarikat alkohol.
“Generasi muda adalah masa depan kita, jangan biarkan mereka terkorban akibat kelalaian pihak yang berkuasa
“Jika kerajaan tidak bertindak akan hal ini, suara masyarakat perlu bersuara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024




















