
KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil tindakan segera bagi menangani masalah bekalan air dialami pengguna di Kampung Jejuluk dan kawasan sekitarnya.
AKSB menempatkan dua tangki statik di Kampung Jejuluk serta sebuah lori tangki kontrak untuk menghantar air bersih setiap hari ke rumah pengguna.
Pelan jangka masa pendek diambil AKSB mengoperasikan dua unit telaga di bawah Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan pada Oktober ini.
“AKSB mengambil maklum aduan yang diutarakan penduduk Kampung Jejuluk, Banggu berkaitan masalah air yang masih berlarutan,” kata AKSB dalam satu kenyataan hari ini.
AKSB turut memberitahu kapasiti pengeluaran bekalan air semasa di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha menunjukkan sedikit penurunan daripada 64 Juta Liter Sehari (JLH) kepada 54 JLH.
Tangki Kubang Kerian juga terjejas iaitu 32 JLH pengeluaran semasa, di mana tahap minima yang diperlukan 35 JLH.
“Sumber bekalan air di Kampung Jejuluk dari LRA Chicha yang diagih bekalan air ke tangki Kubang Kerian sebelum disalurkan kepada 47 akaun pengguna di kampung tersebut,” ujarnya.
Menurutnya juga kesan penurunan pengeluaran bekalan air semasa di loji dan tangki menjejaskan agihan air ke kawasan Kampung Jejuluk, Banggu dan kawasan sekitar.
Manakala bagi pelan jangka panjang AKSB akan mewujudkan medan telaga baharu bagi LRA Chicha serta pembinaan tangki menara untuk meningkatkan tekanan air di Binjai dan penukaran paip lebih besar. – HARAKAHDAILY 18/7/2024




















