
PADA Ahad (14 Julai lalu), Hamas menafikan dakwaan bahawa pihaknya menghentikan rundingan gencatan senjata dengan Israel berikutan serangan berdarah besar-besaran rejim itu ke atas Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.
Beberapa laporan berita mengatakan bahawa Hamas meminta Mesir dan Qatar sebagai perantara untuk menghentikan rundingan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan selepas insiden berdarah di kem pelarian Al-Mawasi.
Anggota Biro Politik Hamas, Izzat al-Rishq dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa semua laporan berita mengenai keputusan Hamas untuk menghentikan rundingan sebagai tindak balas kepada pembunuhan beramai-ramai di kem al-Mawasi adalah tidak berasas.
Beliau menambah bahawa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan kerajaannya cuba menghalang mencapai persetujuan untuk menghentikan pencerobohan ke atas Gaza.
Pada insiden Sabtu (13 Julai lalu), pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 90 rakyat Palestin terbunuh dan 300 yang lain cedera akibat serangan udara tentera Israel yang mengenai khemah penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Khan Younis.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan berkata bahawa sasaran serangan tersebut adalah menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif sambil menyatakan bahawa tentera Israel sedang menunggu laporan serangan itu.
Sasaran utama kedua serangan itu adalah Rafa Salama, komander Briged Hamas di Khan Younis. Mohammed Deif dan Rafa Salama adalah dua individu penting yang dikatakan perancang utama di sebalik serangan 7 Oktober 2023 di wilayah selatan Israel.
Dalam serangan tersebut, hampir 1,200 orang terbunuh dan 250 diculik, manakala 120 warga Israel masih ditahan di Gaza.
Dalam perkembangan yang berkaitan, Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa Hamas berhubung dengan negara perantara dan beberapa negara serantau berhubung pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel di kem al-Mawasi.
Haniyeh turut menegaskan bahawa walaupun Hamas menunjukkan tindak balas yang positif untuk mencapai persetujuan menghentikan pencerobohan terhadap penduduk Gaza, namun pendirian Israel yang diambil oleh Netanyahu (meneruskan serangan) adalah sebaliknya meletakkan halangan yang untuk mencapai persetujuan. – HARAKAHDAILY 19/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















