MBKT aktif jalankan pemotongan pokok untuk keselamatan awam

Rosli Latif
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kini giat menjalankan aktiviti pemotongan pokok sebagai langkah persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang melibatkan keselamatan orang awam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato’ Rosli Latif berkata, meskipun bukan musim tengkujuh, cuaca yang tidak menentu memerlukan persediaan berterusan. 

- Advertisement -

“Kita sudah bersedia, walaupun sekarang tidak semestinya musim tengkujuh, cuaca kita tidak menentu. Kadang-kadang monsun barat daya datang pun tidak dijangka. Kita perlu bersedia setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily dalam satu perjumpaan bersama Datuk Bandar di Bilik Mesyuarat Tingkat 28, Menara MBKT, di sini.

Rosli berkata, tindakan pemotongan pokok dilakukan terutama di kawasan tumpuan awam yang berdekatan dengan jalan bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh membahayakan keselamatan orang awam. 

“Sebahagian pokok yang berada di tempat tumpuan awam berdekatan jalan boleh membahayakan keselamatan orang awam. 

“Oleh itu, kita mengambil tindakan dengan memotong pokok berkenaan dan membuat pemerkasaan dengan kekuatan jabatan kami, serta penjaga kebersihan,” ujarnya.

Kata beliau, peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) yang disalurkan oleh kerajaan negeri turut digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pemotongan pokok. 

“Banyak kerja ini dilaksanakan sekarang, tugas kita adalah untuk menjaga kepentingan dan keselamatan awam. 

“Mana-mana pokok yang boleh menjejaskan keselamatan awam akan dipotong dan buat pemerkasaan,” katanya.

Rosli berkata, tindakan awal yang dilaksanakan oleh MBKT bukan disebabkan kes insiden yang berlaku di Kuala Lumpur tetapi kerja ini telah dijalankan sejak bertahun lalu. 

“Alhamdulillah, negeri kita tidak ada kes serius yang berlaku. Ada satu kes lima atau enam tahun lepas. 

“Pemantauan pokok-pokok berbahaya dan kita juga bertindak atas respon daripada aduan orang awam,” jelasnya.

Beliau juga mengakui bahawa kekurangan jentera memerlukan bantuan peruntukan negeri untuk melaksanakan kerja-kerja pemerkasaan dalam kapasiti yang lebih besar. 

“Kita ada jentera, tapi kalau nak buat dalam kapasiti yang banyak, kita tidak mampu. Oleh itu, kita perlu duit negeri untuk buat kerja-kerja pemerkasaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -