Beri kuasa universiti tentukan kualiti pelajar perubatan

Zakri Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu diberi peluang melahirkan lebih ramai pengamal perubatan berkualiti, kata Zakri Hassan (PN-Kangar).

- Advertisement -

Menurutnya, terdapat lebih 29 institusi pengajian tinggi (IPT) yang diiktiraf oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk pengajian perubatan, termasuk Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang terkenal melahirkan pakar-pakar perubatan.

Katanya, peranan universiti-universiti tempatan dalam melahirkan pengamal perubatan amat penting yang perlu terus diberi kuasa dalam menentukan kualiti pelajar-pelajar mereka.

“Dikatakan terdapat lebih daripada 29 buah IPT yang diiktiraf oleh MMC untuk pengajian perubatan, antara universiti yang paling terkenal sekali adalah seperti Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia yang banyak melahirkan pakar-pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perubatan di Dewan Rakyat, hari ini.

Walaupun pindaan seksyen 2 memasukkan latihan kepakaran yang diluluskan oleh MMC diperlukan, Zakri mempersoalkan mengapa terlalu banyak kuasa diberikan kepada majlis tersebut.

“Persoalan saya ialah kenapakah terlalu banyak kuasa diberikan kepada majlis ataupun kepada MMC, apakah kuasa yang ada ataupun kuasa yang tinggal kepada Kementerian Pengajian Tinggi?

“Mereka pun memerlukan kuasa untuk menjalankan program mereka dan melahirkan pengamal-pengamal perubatan yang berkualiti. Jadi, bagilah KPT peluang untuk melahirkan ramai pakar-pakar,” katanya lagi.

Zakri berkata, bidang perubatan dalam kehidupan manusia hari ini adalah penting dengan peningkatan jumlah hospital dan klinik swasta serta bilangan pesakit.

“Umum mengetahui bahawa bidang perubatan amat penting kepada kehidupan manusia pada hari ini.

“Hospital dan klinik-klinik swasta tumbuh macam cendawan dan bilangan penyakit-penyakit pun meningkat.

“Jadi, hospital-hospital kerajaan turut dipenuhi dengan bilangan pesakit yang ramai. Oleh itu, Malaysia memerlukan lebih ramai pengamal-pengamal perubatan yang berkemahiran tinggi,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -