Penstrukturan semula akaun KWSP wajib bantu rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberikan penjelasan berkenaan peranannya dalam memastikan penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) benar-benar membantu dalam mengimbangi keperluan kewangan rakyat.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, hakikatnya rakyat Malaysia pada hari ini sedang berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup yang signifikan.

“Kenaikan inflasi yang dijangka meningkat antara 3 hingga 3.5 peratus merupakan antara penyumbang kepada masalah ini.

- Advertisement -

“Peningkatan dari hanya 1.8 peratus pada April 2024 tidak seiring dengan kadar gaji dan upah menyebabkan banyak keluarga dalam keadaan sukar,” katanya dalam satu kenyataan, pada hari ini.

Menurut beliau, pengeluaran wang daripada Akaun Fleksibel KWSP direka untuk memastikan kesejahteraan kewangan persaraan diharapkan dapat membantu rakyat untuk menampung keperluan asas dan kecemasan.

Tambah beliau, sejumlah RM7.81 billion telah dikeluarkan oleh ahlinya yang bawah daripada umur 55 tahun dan ini merupakan satu petanda bahawa rakyat sangat memerlukan bantuan kewangan segera bagi meneruskan kehidupan mereka.

Tuan Ibrahim Tuan Man

“Namun, pada masa yang sama, ia menimbulkan kebimbangan apabila 41 ribu ahli belum mencapai simpanan asas mengikut umur sebelum pindahan dilakukan.

“Maka, peranan kerajaan membantu rakyat buat masa ini adalah sangat penting dan pada masa yang sama kempen galakkan pengurusan kewangan yang baik secara intensif dan pemantauan berkala terhadap tingkah laku ahli perlu dibuat.

“Perkara sebegini bukan hanya untuk kelegaan segera tetapi juga tentang kestabilan kewangan pada masa hadapan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ibrahim menyatakan setiap langkah yang diambil oleh pihak kerajaan bukan sahaja hanya untuk menyelesaikan masalah pada hari ini tetapi juga tidak menimbulkan sebarang masalah baharu pada masa akan datang.

Beliau menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula solusi-solusi ekonomi rakyat yang lebih menyeluruh seperti kenaikan gaji dan kawalan terhadap aktiviti jual beli dalam pasaran.

“Saya menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan solusi-solusi yang menyeluruh seperti kenaikan gaji yang lebih baik, peningkatan kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti jual beli di pasaran merangkumi persaingan yang tidak adil dan insiden penyeludupan yang tinggi. 

“Ini bagi memastikan majoriti rakyat tidak menjadi ‘kambing hitam’ demi menyelamatkan periuk nasi individu atau parti tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/7/2024

- Advertisement -