
ORANG yang beriman selagi ada syahadah dan iman, Insya-Allah tidak akan kekal di dalam neraka. Oleh sebab itu, jagalah iman agar tidak rosak. Kalau telah rosak, ia tidak berharga sedikit pun. Aqidah merupakan hal yang sangat penting.
Mungkin kita ada berbuat dosa seperti meminum arak, berzina, merompak atau membunuh orang, namun selagi ada iman, peluang untuk masuk ke dalam syurga itu masih ada.
Tetapi, kalau iman kita telah rosak, walaupun tidak membunuh orang, tidak meminum arak atau tidak berzina, maka tiada erti sedikit pun. Solat dan amal kebajikan yang dilakukan tidak bermakna.
Kita perlu memahami apa sebab yang membolehkan akidah menjadi rosak. Akidah perlu dijaga. Solat, air wudhuk, haji dan puasa pun ada sebab boleh menyebabkannya batal. Kalau akidah tidak dijaga dengan baik, ia juga boleh batal.
Kadang-kadang, ada yang berkata, “Amik ke demo lah syurga, kawe nerako” sebab tidak memahami agama. Tidak boleh berkata begitu. Mulut perlu dijaga dengan baik supaya tidak tergelincir.
Ibarat barang-barang yang disimpan di dalam peti ais walaupun harganya mahal sekalipun, kalau elektrik terputus, semua habis busuk belaka. Begitulah, apabila akidah rosak, rosaklah segala-galanya.
Tidak solat misalnya, itu kita tanggunglah sendiri dengan Allah, tetapi masih ada lagi peluang kalau ada akidah. Bacalah dengan ‘molek’ Mustika Hadis yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia, apa sebab-sebab yang menyebabkan akidah kita rosak.
Kata ulama, iman ibarat penyangkut, kalau ia tiada, solat kita nak sangkut di mana? Amal soleh kita ada tempat penyangkut iaitu akidah. Kalau akidah rosak, tiadalah tempat penyangkut.
Oleh sebab itu, orang kafir yang berbuat baik setara mana sekalipun, ia tiada nilai kerana tiada tempat penyangkut. Contohnya, dia memberi simen dan pasir kepada masjid atau air untuk jamuan buka puasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa kerana tiada iman. – HARAKAHDAILY 17/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















