
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ekspresi Anak Malaysia (Anak Malaysia) menyatakan kekesalan terhadap keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dato’ Johari Abdul yang telah menggagalkan langkah murni kerajaan terdahulu untuk mengekang isu lompat parti.
Pengerusi Anak Malaysia, Mohammad Rosharizan Mohd Rozlan berkata, pihaknya melihat isu ini sebagai tindakan khianat yang merugikan usaha reformasi institusi parlimen dan kepercayaan rakyat.
“Usaha kerajaan terdahulu untuk menghalang lompat parti telah dirosakkan oleh tindakan Speaker yang salah dalam mentafsir akta.
“Tindakan ini menggagalkan usaha memastikan kestabilan politik dan amanah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Speaker tiada kuasa dalam menafsir sebarang akta di dalam Perlembagaan.
“Kuasa tafsiran hanya ada pada Mahkamah Persekutuan, dan adalah satu penghinaan kepada institusi parlimen apabila kuasa ini diambil alih oleh Speaker,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam situasi landskap politik yang tidak stabil, rumit dan kabur maka mekanisme Akta A1663 adalah penting untuk mengawal ahli politik dari lompat parti yang merugikan kerajaan mahupun pembangkang.
“Ini adalah langkah penting untuk mengekalkan kestabilan dan integriti politik negara.
“Speaker harus diingatkan bahawa setiap keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira implikasi masa depan dan tidak dipengaruhi oleh parti pemerintah semasa.
“Kestabilan politik jangka panjang harus diutamakan daripada kepentingan jangka pendek,” tegasnya.
Oleh itu, beliau menyatakan pihak Anak Malaysia menyarankan agar pembentukan satu jawatankuasa khas yang menggabungkan kerajaan, pembangkang, pengamal undang-undang, dan ahli akademik.
“Jawatankuasa ini harus dipengerusikan oleh individu selain Tan Sri Dato’ Speaker bagi memastikan ketelusan dan keadilan dalam proses reformasi.
“Anak Malaysia menyeru agar semua pihak bertindak demi kepentingan rakyat dan masa depan negara yang lebih stabil dan makmur,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2024




















