Lebuh AMJ tiada lampu dikhuatiri punca kemalangan

Tuan Guru Zulkifli Ismail
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketiadaan lampu jalan di beberapa lokasi di sepanjang Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) dibimbangi boleh mengundang kemalangan.

- Advertisement -

Tuan Guru Zulkifli Ismail (PN-Jasin) berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh pihak Kementerian Kerja Raya untuk diatasi secepat yang mungkin.

Katanya, pembinaan Lebuh AMJ yang merupakan jalan persekutuan yang siap pada tahun 2007 telah memberikan impak positif kepada Negeri Melaka dari segi kelancaran trafik selain membantu secara tidak langsung dari sudut peningkatan ekonomi setempat.

“Namun begitu masalah ketiadaan lampu jalan di Lebuh AMJ khususnya ke arah Jasin bermula daripada persimpangan Umbai sehingga ke Sungai Rambai adalah amat dikesali.

“Walaupun Lebuh AMJ menjadi laluan utama kenderaan untuk perjalanan ke bandar Muar dan juga ke Selatan, untuk makluman Yang Berhormat Menteri, lampu jalan hanya dipasang di persimpangan dan kawasan untuk kenderaan membuat pusingan U sahaja, manakala jalan selebihnya tiada lampu jalan,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Melaka itu berkata demikian sewaktu Sidang Kamar Khas Parlimen bagi membincangkan usul berkaitan perkara tersebut terhadap Kementerian Kerja Raya.

Tambah beliau, jalan yang gelap mengundang bahaya seperti kemalangan melibatkan kehilangan nyawa dan harta termasuk risiko kejadian samun dan lain-lain bahaya, malah memang telah berlaku beberapa kemalangan di laluan yang dinyatakan itu.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka telah membuat permohonan untuk lampu jalan di Lebuh AMJ pada tahun 2018, 2021 dan 2022. Tetapi tiada perubahan signifikan yang berlaku untuk lampu jalan ini.

“Kita yakin permohonan tersebut bukanlah dibuat sesuka hati tetapi sudah pasti ada keperluan yang penting sehingga tiga kali permohonan telah dibuat,” kata beliau.

Tambahnya, antara alasan yang diberi kerajaan ialah kerana kekangan kos.

Namun, ujarnya walaupun kos menjadi faktor utama seharusnya ia tidak dijadikan semua alasan untuk tidak menaikkan lampu jalan itu.

“Faktor keselamatan hendaklah diberi keutamaan kerana tiada amaun duit yang boleh menggantikan nyawa.

“Maka saya memohon dan amat berharap Kementerian Kerja Raya dapat memberikan perhatian dan pertimbangan yang serius terhadap permohonan lampu jalan ini,” katanya.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam jawapannya berkata, pihaknya ada memasang lampu jalan di sepanjang Lebuh AMJ namun menyedari bahawa jumlahnya tidak memadai.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kita telah melakukannya walaupun tidak mencukupi itu masalah sekarang ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

- Advertisement -