‘Iran tidak akan tinggalkan Palestin sendirian’ – Pezeshkian 

Masoud Pezeshkian (kanan) dan Ismail Haniyeh (FOTO: Iranintl)
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian mengesahkan sokongan padu kabinetnya terhadap rakyat Palestin dengan mengadakan perbincangan terbaharu bersama ketua biro politik Gerakan Penentangan Islam Hamas, Ismail Haniyeh pada Ahad.

Dalam perbincangan melalui telefon itu, Haniyeh sekali lagi mengucapkan tahniah kepada Pezeshkian atas kemenangannya dalam pemilihan presiden Iran dan berterima kasih kepada Iran atas sokongannya kepada rakyat Palestin.

- Advertisement -

Pegawai kanan Hamas itu menyatakan bahawa Perdana Menteri rejim Zionis Israel, Benjamin Netanyahu telah menghalang rundingan gencatan senjata, laport IRNA.

“Dalam kenyataannya baru-baru ini, Netanyahu telah mencadangkan syarat baharu yang tidak termasuk dalam teks perjanjian yang dicadangkan.

“Itu sesuatu yang menunjukkan keinginan Netanyahu untuk meneruskan peperangan,” kata Haniyeh.

Haniyeh juga berterima kasih atas pendirian Iran yang tidak berbelah bahagi menyokong rakyat Palestin dan melahirkan harapan agar lebih banyak usaha politik dan diplomatik akan dilakukan untuk mencapai gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Sementara Pezeshkian, bagi pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam terbaharu rejim Zionis ke atas rakyat Palestin di kem al-Mawasi semalam di Gaza yang menyebabkan sekurang-kurangnya 90 orang awam terkorban.

Beliau berkata, jenayah perang terbaharu  Israel itu adalah sebagai tanda keinginan rejim Zionis untuk meneruskan pembunuhan beramai-ramai di negara Palestin dan mematahkan perjuangan kumpulan penentangan Islam Hamas.

“Zionis akan gagal dalam mencapai matlamat itu,” tegasnya.

Menurutnya, Republik Islam Iran tidak akan sekali-kali meninggalkan negara Palestin bersendirian dalam situasi sukar, sambil menambah bahawa kabinetnya akan meletakkan Palestin sebagai isu teras dunia Islam di atas keutamaannya.

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk menghentikan perang dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza. 

“Tindakan jangka panjang yang diingini adalah penamatan pendudukan Zionis Israel  dan rakyat Palestin mencapai sepenuh hak mereka. -Agensi/– HARAKAHDAILY 15/7/2024


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -