Iman: Nikmat paling besar dalam hidup

- Advertisement -

KITA kalau sakit, ada isteri dan anak yang membantu atau doktor yang bertanya khabar, tetapi tiada yang membantu kita di dalam neraka. Sahabat kita juga tidak dapat menolong kita kerana sama-sama susah dan sakit.

Apabila berada dalam seksaan, penghuni neraka ibarat melolong, mendekam, dan merengek kesakitan, tetapi tiada siapa yang dapat menolong mereka. Inilah gambaran yang disebut mengenai orang yang tidak beriman. Oleh itu, jagalah iman kita agar tidak rosak dan hilang.

- Advertisement -

Kata ulama, nikmat yang paling besar dalam hidup ialah iman. Hidup merupakan nikmat, namun ia tidak cukup kerana kita belum tentu selamat di akhirat. Senang di dunia, di akhirat tidak tahu lagi.

Tetapi dengan iman, hidup kita di atas dunia tenteram. Kita berasa damai dan Insya-Allah akan selamat di akhirat. Oleh sebab itu, iman dikatakan nikmat yang paling besar melebihi segala apa yang ada dalam hidup kita. Lebih baik susah dan ada iman daripada kaya tetapi tiada iman.

Lebih teruk lagi kalau susah dan tiada iman. Hidup sesak satu hal, tidak sembahyang pula. Jadi, kesianlah di akhirat nanti. Kalau boleh, walaupun hidup sesak sehingga terpaksa mengutip tin misalnya, sembahyang janganlah tinggal. Sebab biar ada amal soleh yang dapat kita bawa di akhirat.

Oleh sebab itu, ada orang yang benar-benar beriman sanggup meninggalkan kenikmatan dunia dan mencari kenikmatan akhirat. Sebab baginya, yang akhirat itu kekal sampai bila-bila sementara yang di dunia ini hanyalah sebentar sahaja.

Kita berasa senang setara mana sekali pun, setakat umur kita masih ada. Kalau berusia dan sakit, kita sudah tidak larat untuk pergi ke tempat yang jauh.

Orang yang benar-benar beriman sanggup susah di atas dunia dan bersabar. Tidak mahu melakukan maksiat, tidak melanggar perintah Allah dan bersabar dalam menunaikan ibadah. Sebab dia mengetahui akan ada ganjaran yang menantinya.

Ibarat pelajar yang tidak menonton televisyen dan bermain, dia hanya membaca buku, buat ‘group discussion’ dan menghadiri tuisyen. Sebab ‘result’ yang baik akan membolehkannya ke universiti dan mendapat kedudukan yang terbaik.

Bukan bermaksud dunia ini kita tidak boleh ambil, tetapi ada perkara yang kita perlu pilih antara nikmat dunia dan akhirat. Kalau tidak, habislah kita. Allah menguji kita dengan apa akhir sekali? Dengan Dajjal.

Dajjal merupakan antara ujian besar bagi umat Islam. Dalam hadis disebut, Dajjal datang dan memikul dunia di atas bahunya. Dia menyuruh manusia untuk memilih mana satu yang dimahukan. Ini bukan setakat nak menyelesaikan masalah air atau jambatan, tetapi yang ditawarkan adalah dunia. – HARAKAHDAILY 15/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.


Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

- Advertisement -