
KUALA LUMPUR: Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) menyarankan lima bidang ekonomi bernilai yang sepatutnya diceburi oleh pihak koperasi di Malaysia.
Beliau mengemukakan cadangan tersebut ketika mengajukan soalan tambahan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, kebanyakan daripada 100 koperasi terbaik di Malaysia kini berasaskan kredit dan stesen minyak.
Namun begitu, tiada satu pun yang berasaskan pelancongan, meskipun sektor tersebut mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi negara.
“Kita faham cabaran yang dihadapi oleh koperasi pelancongan bukan hanya dalam konteks koperasi tetapi juga dalam konteks pembangunan usahawan,” katanya.
Beliau kemudian meminta penjelasan daripada menteri berkenaan berkaitan strategi dan fokus perancangan kementerian dalam melipatgandakan usaha untuk memantapkan lagi pemerkasaan koperasi, terutamanya dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, bidang pelancongan perlu diberikan perhatian yang lebih serius memandangkan potensi besar yang dimiliki Malaysia dalam menarik pelancong dari dalam dan luar negara.
Mas Ermieyati dalam soalan asal meminta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan bagaimana prestasi atau keterlibatan koperasi-koperasi di dalam sektor pelancongan dalam industri pelancongan nasional memandangkan Tahun Melawat Malaysia 2026 kerana koperasi lebih cenderung dengan sektor pertanian dan pemborongan. – HARAKAHDAILY 15/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!











