Pemimpin Hamas mangsa terbaru kekejaman Israel

Keadaan bangunan yang dibom dalam serangan udara Israel.
- Advertisement -

AHAD, 7 Julai lalu menyaksikan satu serangan udara tentera Israel di bandar Gaza mengorbankan seorang pemimpin kanan dalam pentadbiran Hamas, Ehab al-Ghussein.

Beliau yang merupakan Timbalan Menteri Buruh antara empat orang yang terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang merupakan sebuah pusat pemindahan sementara bagi penduduk yang dipindahkan dari wilayah barat.

- Advertisement -

Kakitangan Pertahanan Awam di Pejabat Gabenor Gaza telah mendapatkan semula jenazah empat syuhada dan menyelamatkan beberapa individu lain yang cedera.

Ehab, 45, merupakan jurucakap Kementerian Dalam Negeri sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh. Isteri dan anak-anak beliau dilaporkan terkorban dalam serangan udara rejim Israel pada Mei lalu. Kematian Ehab dianggap sebagai satu kehilangan dalam sektor pentadbiran seperti ramai lagi pemimpin dan penjawat awam yang terkorban sepanjang tempoh sembilan bulan yang lalu.

Pada 2012, Ehab dilantik sebagai Pengarah Kementerian Komunikasi di Gaza sehingga 2020 dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh. Beliau juga terlibat dalam penggabungan pejuang Hamas ke dalam pasukan keselamatan Palestin yang merangkumi pasukan polis, keselamatan negara, pertahanan awam dan anggota bomba.

Tiada sebarang reaksi segera mengenai serangan udara tersebut daripada Pasukan Pertahanan Israel (IDF), selain kenyataan bahawa serangan itu menyasarkan “pengganas” yang bersembunyi di sekolah dan fasiliti pembuatan senjata berdekatan.

IDF mendakwa serangan udara itu dilakukan hanya selepas mempertimbangkan langkah untuk meminimumkan risiko kecederaan orang awam.

Dalam pada itu, protes anti-kerajaan di Israel meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini apabila Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menghadapi desakan untuk mempercepatkan gencatan senjata. Terdapat kira-kira 120 rakyat Israel masih ditahan di Gaza.

Situasi ini berlaku dalam keadaan tiada perkembangan terkini berkaitan gencatan senjata walaupun berbulan-bulan rundingan dijalankan secara berterusan.

Walaupun pentadbiran Washington memberi gambaran rundingan tersebut semakin hampir kepada gencatan senjata, Netanyahu menegaskan sebarang rundingan tidak boleh menghalang Israel daripada meneruskan serangan sehingga matlamat perangnya tercapai, iaitu menghapuskan Hamas. – HARAKAHDAILY 14/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -