Cabaran lebih besar berhadapan pemerintah paling lemah

- Advertisement -

GOMBAK: Pemuda PAS menghadapi cabaran yang lebih besar pada ketika ini kerana berhadapan dengan parti pemerintah yang paling lemah dalam sejarah negara berbanding dengan Barisan Nasional dan pemerintahan yang lain.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pemuda tidak akan pernah berjumpa parti pemerintah selemah ini.

“Dalam sejarah kita berhadapan dengan Barisan Nasional (BN), berhadapan dengan siapa sahaja tekanan tidak sekuat sebagaimana yang berlaku pada saat ini.

“Tetapi dengan tekanan yang kuat inilah akan melahirkan generasi yang akan bangkit berjuang mempertahankan Islam dan rakyat kerana tanpa tekanan kita akan lemah dengan tekanan yang kuat akan membangkitkan kekuatan di kalangan pemuda,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) kali ke-58 di Dewan Beringin di sini hari ini.

Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri. Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS negeri, Sabirin Marsono.

Dalam pada itu, beliau berkata, tema ucaptama Pemuda PAS negeri pada kali ini adalah ‘Bersama Rakyat Membina Kemenangan’.

“Rakyat merujuk kepada sekumpulan individu yang tinggal dalam sebuah negara atau wilayah di bawah pemerintahan tertentu.

“Hal ini menunjukkan pemerintah dan rakyat ibarat aur dan tebing yang perlu saling memperkukuhkan antara satu sama lain,” ujarnya.

Namun demikian, katanya perkaitan yang disebutkan sebagai hubungan sosial pengajian ilmu kemasyarakatan ini merupakan satu pertalian yang rumit.

“Hal ini kerana hubungan ini sering terdedah kepada perbalahan dan perkelahian kerana penciptaan manusia itu sendiri adalah kompleks.

“Dan mempunyai kehendak dan cita-cita tersendiri. Dalam hal ini Islam meletakkan syariah sebagai asas pertautan antara pemimpin dan rakyat. Tuan Guru Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyebutkan di dalam bukunya bagaimana Islam memerintah negara,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/7/2024

- Advertisement -