
GOMBAK: Pemuda PAS perlu memiliki sifat golongan al-Hawariyyun iaitu terus ikhlas, istiqamah, sanggup berkorban dan menawarkan diri dalam menggalas kewajipan jihad walaupun gelaran dan jolokan nama itu khusus kepada pengikut Nabi Isa AS.
Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Negeri Selangor, Sabirin Marsono berkata, dalam konteks perjuangan pada hari ini sifat-sifat seperti yang dimiliki inilah yang penting untuk diamati dan dikaitkan dengan perjuangan dalam PAS.
“Rasulullah SAW menyebutkan dalam sebuah hadis baginda menyebutkan melalui sabda yang bermaksud setiap Nabi itu punya hawari atau punya pembela dan hawariku adalah Zubair.
“Rasulullah SAW menyebutkan Zubair atas sifatnya sebagai seorang pemuda. Suami kepada Asma binti Abu Bakar seorang yang kaya-raya. Dengan kekayaan yang melimpah ruah.
“Dan semua kekayaan yang dimilikinya itu tersebut digunakan untuk berkorban membela Rasulullah SAW dan dakwah baginda,” ujarnya Ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri ke-58, di sini hari ini.
Muktamar itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Mohd Hafez Sabri. Turut hadir ialah Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam pada itu, menurutnya, al-Hawari tidak terhenti pada ketika itu setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Bahkan, ujarnya pada setiap generasi sebenarnya ada al-Hawari iaitu pembela kepada agama ini iaitu mereka yang mempunyai hati yang tulus, menawarkan diri untuk memperjuangkan Islam dan umatnya.
“Sama-samalah kita berdoa, kita berusaha supaya kita ini adalah manusia-manusia, pemuda-pemuda yang memenuhi ciri-ciri ini yang membantu kepada tugas, menegakkan agama Allah SWT ini,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











