
GOMBAK: Perkara utama yang ditekankan dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor kali ini ialah pemuda mesti menjadi suara paling lantang memperjuangkan isu rakyat dan setempat.
Menurut ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar, dan paling utama Pemuda PAS negeri akan menjadi mimpi ngeri buat Pakatan Harapan di negeri ini.
“Kita takkan biarkan menteri besar tidur dengan lena melainkan secara berterusan gerak kerja kita akan memastikan isu-isu rakyat di negeri Selangor ni akan terbela.
“Walaupun negeri Selangor mempunyai kemakmuran ekonomi. Tetapi kita lihat agihan itu masih berlaku rakyat-rakyat yang ketinggalan mendapat pembelaan yang mesti diberi fokus.
“Dan kita lihat dalam sidang DUN baru-baru ni bagaimana retoriknya isu menoktahkan kemiskinan, apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebut bahawa dia telah menoktahkan kemiskinan.
“Hakikatnya dijawab oleh Exco kerajaan negeri bahawa ianya sangat mustahil untuk dilaksanakan di negeri Selangor terutamanya miskin-miskin bandar yang ada di negeri Selangor,” kata beliau ketika sidang media selepas perasmian Muktamar Dewan Pemuda PAS negeri ke-58 di Dewan Beringin di sini, hari ini. (Foto atas)
Beliau juga menyifatkan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari dilihat sangat lemah dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, ini berikutan apabila poster dan bendera PAS yang digantung di sekitar kawasan muktamar dewan itu telah diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) walaupun PAS parti yang sah dan berdaftar.
Beliau berkata, PBT melakukan perkara tersebut dengan alasan menteri besar mahu melalui berprogram di kawasan sini hari ini.
“Dia ingat negeri Selangor ini kepunyaan mak ayah dia ke, sesuka hati, jalan-jalan perlu dikosongkan bendera PAS atas alasan dia nak lalu sedangkan PAS merupakan parti yang berdaftar. Bagaimana dia layan PAS hari ini seolah-olah kita parti haram.
“Kita parti yang berdaftar ikut lunas undang-undang. Kita dewan ni pun kita bayar sewa. Saya lihat lemahnya nilai demokrasi yang dijunjung di negara kita,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan PH-BN Selangor takut pada bayang-bayang sendiri, apatah lagi takut kepada Perikatan Nasional. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











