
GOMBAK: Tidak boleh dinafikan bahawa suara orang muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat sangat-sangat diperlukan ketika ini, kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hafez Sabri.
Katanya, ini berdasarkan rekod Pilihan Raya Umum (PRU) lepas iaitu lima daripada tujuh calon Pemuda memenangi kerusi DUN Perak.
Menurutnya, ini isyarat yang penting dengan imej pemuda yang muda serta menyelami jiwa dan pemikiran anak muda.
Beliau berkata, sebagaimana di negeri Perak, PAS memberikan ruang sebanyak tujuh calon Pemuda pada PRU yang lalu.
“Daripada tujuh orang tersebut lima orang calon menang dalam PRU ke-15. Maksudnya Pemuda PAS Perak ada lima orang Ahli Dewan Negeri daripada Pemuda PAS Perak.
“5 orang inilah yang menjadi suara kepada pemuda di negeri Perak. Campur dengan seorang sahabat daripada pemuda Armada, Bersatu negeri Perak ada seorang. Jadi enam orang kami dalam Dewan Negeri alhamdulillah,” ujar beliau yang juga ADUN Manjoi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor kali ke-58 di Dewan Beringin, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Perikatan Nasional negeri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS negeri, Sabirin Marsono dan ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Dalam pada itu, beliau berkata hari ini desakan suara anak muda sangat kuat kepada pengundi-pengundi muda yang memberi sokongan kepada Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap baru-baru ni.
“Insya-Allah, ini yang paling dekat dengan kita. Bahkan di Kuala Kubu Bharu juga begitu. Pengundi muda tidak lari, setia bersama dengan Perikatan Nasional dan berikan sokongan kepada kita,” kata beliau.
Sebelum itu, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Mohamed Sukri Omar turut meminta dan mencadangkan supaya Perikatan Nasional negeri memberikan ruang yang lebih kepada Pemuda PAS untuk bertanding di DUN Selangor.
Sementara itu, Sabirin pula semasa berucap berkata, beliau akan membincangkan permintaan tersebut namun perlu bersedia dengan pemimpin yang mantap untuk mengisi kemenangan. – HARAKAHDAILY 14/7/2024











