
GOMBAK: Orang ramai dijemput untuk menghadiri Siri Jelajah Selamatkan Malaysia dengan tajuk ‘Gelombang Selamatkan Malaysia’ pada esok (13 Julai, Sabtu), pada jam 9 malam di KUIZM, Taman Melewar, di sini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Pusat, program anjuran Jabatan Penerangan PAS Pusat dan Harakah itu akan menampilkan barisan penceramah terkemuka dan sentiasa terkehadapan dalam membicarakan isu-isu dan hal ehwal kebajikan rakyat.
Mereka yang dijadualkan hadir termasuklah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Idris Ahmad; Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Sudah diberi peluang, mereka bebankan rakyat dengan formula yang membawa pulangan menjerat. Sudah diberi masa, mereka persiakan kuasa dengan inisiatif yang dangkal dan tidak adil.
“Sudah diberi teguran, mereka ‘bahalolkan’ dan ‘bodohkan’ rakyat dengan sesukanya. Orang begini tidak lagi boleh diberi muka. Malaysia perlu diselamatkan segera!” katanya menerusi kenyataan itu.
Turut dijadualkan hadir pada majlis berkenaan adalah mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; mantan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz; mantan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil dan Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard.
“Demi masa hadapan Malaysia dan generasi anak-anak cucu kita, satu kuasa kolektif rakyat Malaysia yang membentuk gelombang diperlukan saat ini. Kita hantarkan signal penolakan kepada kerajaan semasa yang begitu bongkak dan angkuh dengan kuasa yang ada.
“Kita gegarkan program ini dengan suara keramat rakyat Malaysia!” katanya.
Semua rakyat Malaysia yang ingin mengetahui isu sebenar yang sedang berlaku di dalam negara dijemput untuk hadir beramai-ramai ke lokasi dan waktu yang ditetapkan.
Siri Jelajah itu juga boleh disaksikan secara dalam talian menerusi laman media sosial Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!




















