40,000 korban: Genosid Israel bunuh Palestin di mana sahaja

Mahathir Mohamad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perang Israel-Hamas yang berlaku sekarang ini bukanlah perang untuk mempertahankan Israel seperti yang didakwa mereka, tetapi merupakan perang genosid untuk membunuh kesemua rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat, Lubnan dan di mana-mana sahaja di dunia ini.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara ini merupakan pendapat seluruh dunia dan hasil dapatan daripada mahkamah dunia, di mana seramai 40,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Semenanjung Gaza sejah perang itu meletus sejak 7 Oktober 2023.

“Media di Israel menyatakan bahawa mereka mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka.

- Advertisement -

“Adakah ini bermakna hanya Israel sahaja mempunyai hak tetapi rakyat Palestin tidak mempunyai hak untuk mempertahankan diri mereka?” katanya.

Tambah beliau, selama 70 tahun Zionis Israel telah menduduki tanah Palestin, membina penempatan di wilayah Palestin, membunuh ribuan rakyat Palestin, menyeksa dan membunuh rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat, menduduki Baitulmaqdis, mengusir penduduk di sana, merampas rumah mereka dan kini melancarkan perang terhadap mereka.

“Untuk semua penindasan ini adakah orang Israel menganggapnya hak mereka?

“Adakah mereka menganggap rakyat Palestin tidak berhak untuk membalas dendam? 

“Pasti rakyat Palestin juga ada hak. Tetapi mereka tidak melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Israel,” ujarnya. 

Namun menurut beliau, pihak Israel membunuh wanita Palestin, kanak-kanak dan juga bayi untuk melindungi rakyat Israel, alasannya adalah untuk menghapuskan Hamas. 

“Namun hakikatnya lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi Palestin bukanlah askar Hamas. Mereka bukan pejuang.

“Orang (Zionis) Israel sememangnya tidak berperikemanusiaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2024

- Advertisement -