
SHAH ALAM: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ‘panas’ apabila Speaker DUN Selangor, Lau Weng San mengumumkan tidak berlaku kekosongan pada kerusi DUN Selat Klang.
Beliau berkata, ia tiada bukti yang mencukupi untuk menegaskan kekosongan luar jangka berkenaan.
Hal demikian kerana notis yang dibawa Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali bertarikh 20 Jun yang diterima pejabat speaker tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan.
“Pemberhentian Yang Berhormat (YB) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari dalam Bersatu didapati satu pemecatan terancang di bawah operasi Perkara 65A (2)(c) Perlembagaan Negeri Selangor.
“Notis dan bukti dari YB Hulu Kelang (Mohamed Azmin) tidak memenuhi beban pembuktian yang diperlukan untuk membuktikan yang sebaliknya.”
“Selamat untuk disimpulkan atas skala pertimbangan kebarangkalian bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka,” katanya dalam sidang DUN Selangor pada Khamis.
Terdahulu, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari pada 6 Mac lalu.
Justeru, Azmin Ali yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi DUN Selat Klang kepada Speaker DUN.
Namun begitu, tindakan Speaker DUN Selangor yang meninggalkan dewan setelah membuat pengumuman menzahirkan kekesalan Mohamed Azmin yang mewakili ADUN PN berhubung keputusan berkenaan dan akan meneliti perkara tersebut sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk dari segi undang-undang.
Sidang DUN Selangor ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. – HARAKAHDAILY 12/7/2024
Ikuti Channel rasmi Harakahdaily di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!




















