
WALAUPUN Allah mengutuskan nabi dan rasul, tetapi sampai ke hari ini, manusia masih berpecah. Ada yang agamanya bukan Islam, bukan setakat Yahudi dan Nasrani, tetapi Hindu, Buddha, Sikh dan macam-macam lagi.
Di Parsi, ada agama Majusi atau Zoroaster yakni menyembah api. Minoriti sahaja yang menganutinya. Agama Majusi tiada di negara lain. Di India pula, ada satu agama yang dikenali sebagai Jainism pecahan agama yang tiada di tempat lain.
Islam sendiri berpecah mazhab politiknya seperti Mazhab Syiah dan Khawarij. Khawarij muncul pada zaman Sayyidina Ali, sebab dia marah Sayyidina Ali yang terima Tahkim dengan Muawiyah. Jadi dia menolak, muncullah Khawarij.
Syiah muncul selepas zaman Sayyidina Ali, apabila anak-anaknya iaitu Hasan hilang jawatan dan Husin dibunuh. Muncullah mazhab Syiah.
Syiah yang terbesar ada tiga, antaranya ialah Syiah Imamiyah atau Ithnai ‘Asyariyyah yang ada di Iran pada hari ini. Mereka percaya kepada dua belas orang Imam bermula daripada Sayyidina Ali, Hasan, Husin, Ja’afar as-Sodiq, Musa al-Kazim, Ali ar-Ridho dan sehingga ke Muhammad al-Mahdi. Muhammad al-Mahdi merupakan imam terakhir yang kedua belas. Dia dianggap akan muncul sebagai Imam Mahdi di akhir zaman.
Sebab berdasarkan hadis Nabi yang menyatakan bahawa Mahdi adalah sepertinya. Rupa dan tubuhnya serupa dengan Nabi dan akan lahir pada akhir zaman untuk mendamaikan dunia dan menegakkan agama. Selepas dia wafat, akan berlakulah kiamat.
Syiah kedua terbesar ialah Syiah Ismailiyyah. Berpusat di India. Ketuanya dipanggil sebagai Aga Khan. Kebanyakan ulama menolak kerana banyak pegangannya bercanggah dengan akidah dan boleh menyebabkan kufur.
Syiah ketiga terbesar ialah Syiah Zaidiyah. Berpusat di Yaman. Ia tidak diiktiraf oleh Syiah Imamiyah dan Syiah Ismailiyah. Bagi Imam Zaid bin Ali yang merupakan salah seorang imam, baik Sayyidina Umar mahupun Sayyidina Abu Bakar boleh menjadi khalifah.
Jumlah penganutnya kecil dan sebahagian orang Syiah tidak menerimanya. Fekahnya adalah lebih kurang dengan mazhab Syafie.
Antara ulama besarnya ialah Imam As-Syaukani yang kita jarang ketahui dan kita membaca kitab-kitab mereka seperti Fathul Qadir dalam tafsir dan Nailul Awthar dalam hadis dan fiqh.
Di Oman, mazhab rasminya ialah Ibadhiyah. Dalam Islam sendiri berpecah. Sehingga ada ulama menulis bahawa ada 73 mazhab.
Nabi kata:
وإنَّ أمتي ستفترقُ علي اثنتيْنِ وسبعين فرقةً ، كلُّها في النارِ إلا واحدةً وهي الجماعةُ
72 sesat dan menyeleweng kecuali satu. Yang mana menurutnya dan sahabat, itulah yang betul. Istilah kita pada hari ini ialah Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Dalam Syiah juga disebut dalam satu kitab, ada 73 mazhab fekahnya. Inilah perpecahan pemikiran umat Islam.
Maka, kita duduklah dengan asas al-Quran dan Hadis. Tidak lari daripada prinsip asas. – HARAKAHDAILY 7/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















