Gencatan senjata Hamas-Israel masih belum jadi kenyataan

Usamah Hamdan
- Advertisement -

HAMAS mendedahkan perundingan untuk gencatan senjata di Gaza belum menampakkan sebarang perkembangan yang jelas. Bagaimanapun, Hamas bersedia menyambut secara positif sebarang cadangan yang dapat menjamin gencatan senjata secara kekal di Gaza serta jaminan pertukaran tawanan Israel dan tahanan Palestin.

Wakil Hamas, Usamah Hamdan berkata dalam sidang media baru-baru ini bahawa sehingga kini tiada perkembangan baru mengenai perundingan gencatan senjata dari pihak rejim Israel. Apa yang dilaporkan daripada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) adalah memberikan tekanan terhadap Hamas agar bersetuju menerima cadangan gencatan senjata itu tanpa sebarang perubahan bagi menampakkan imej baik terhadap pentadbiran AS yang sedia buruk.

- Advertisement -

Hamas juga menegaskan kembali bahawa pihak mereka bersedia untuk memberikan kerjasama yang positif dengan sebarang bentuk cadangan yang dapat menjamin gencatan senjata kekal serta pengunduran tentera (Israel) secara menyeluruh dari Gaza dan pertukaran tawanan secara serius.

Dalam perkembangan yang sama, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula berkata pihaknya akan meneruskan perang ke atas Gaza dan berperang menentang Hamas sehingga ke penghujungnya bagi menghapuskan penentangnya itu.

Kenyataan Netanyahu itu dipercayai berhubung dengan beberapa cadangan daripada pentadbiran AS melalui Presiden Joe Biden mengenai proses pembebasan tebusan Israel dan gencatan senjata di Gaza yang tidak dipersetujuinya.

Terdahulu, Netanyahu menyatakan objektif dari serangan ke atas Gaza ialah untuk membebaskan tawanan warga Israel yang ditahan oleh tentera Hamas dan memastikan wilayah itu tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.

Pentadbiran Tel Aviv juga bertekad untuk memulihkan keamanan di perbatasan antara negara haram tersebut dengan Gaza dan Lubnan sehingga warga Israel dapat pulang ke penempatan mereka dengan selamat. Mereka merupakan penduduk yang diarahkan berpindah ketika awal konflik ini tercetus.

Tentera Israel dilaporkan telah memasuki daerah Shejaia di utara Gaza dan wilayah barat serta tengah Rafah di Selatan dengan kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah beberapa rumah.

Tindakan itu difahamkan bagi memastikan daerah yang bersempadan dengan Israel itu selamat sebelum penduduk Yahudi yang diarahkan berpindah akibat peperangan dapat kembali ke kediaman mereka semula. Namun, hal yang sama tidak berlaku kepada penduduk Gaza yang diusir dari penempatan mereka sejak awal konflik yang bermula bulan Oktober tahun lalu. – HARAKAHDAILY 7/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -