
IBADAH dalam Islam bukan setakat solat, puasa dan haji sedangkan lebih luas lagi. Ini adalah ibadah ‘ritual’ atau ibadah khusus. Sebenarnya seluruh kehidupan kita adalah ibadah.
Bermula daripada kita celik mata sehingga kepada tidur semula, kalau menepati dengan kehendak agama, semuanya itu mendatangkan pahala. Semua dikira ibadah walaupun perbuatan itu bersifat dunia.
Contohnya, pergi bekerja, naik kereta atau motor, mencari pitis, menoreh getah, memandu teksi, menukang rumah dan sebagainya. Kalau niat yang betul dan menepati caranya, ia boleh menjadi pahala.
Letih, penat dan tenaga kita semuanya mendatangkan pahala dan tidak sia-sia. Nak boleh pahala, bukan sekadar duduk di atas tikar sembahyang atau di dalam masjid.
Tidak semestinya kita perlu sentiasa membaca “Nawaitu memandu teksi hari ini kerana Allah Ta’ala.” Asalkan terlintas sahaja.
Fahaman kita itu lebih penting. Niat adalah benda yang terlintas di dalam hati. Dalam kitab fiqh disebut:
قصد الشيء مقترنا بفعله
Niat yang dimaksudkan adalah kita ada tujuan dalam berbuat sesuatu perkara dan disertakan dengan perbuatan. Tempat niat adalah di dalam hati.
‘Usolli’ itu bukan niat, ia adalah lafaz. Tetapi, ia tidak salah. Kata ulama, bacaan ‘usolli’ adalah untuk menolong hati kita. Kadang-kadang, hati kita lagha. Contoh, nak pergi masjid, isteri sudah berpesan supaya jangan lama sangat sebab nak ke Mydin.
Jadi, lafaz ini menolong hati kita supaya fokus kepada kerja kita. Kalau tidak menyebut ‘usolli’ ketika solat, tidak mengapa. Kalau menyebutnya lagi baik. Makna kata, ia tidak wajib untuk disebut.
Di Makkah, lafaz ‘usolli’ tidak kedengaran, hanya ‘Allahu Akbar’ sahaja. – HARAKAHDAILY 6/7/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















