Sanggup rentas 330km sokong PN di Sungai Bakap

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Seorang penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN), Adli Zil Ikam Az-Zahabi Saafi, 36, sanggup merentas lebih 330 kilometer (km) dari Jabi, Besut demi merasai sendiri kehangatan PRK N.20 DUN Sungai Bakap.

- Advertisement -

“Kami sanggup turun demi mengekalkan kemenangan di sini. Dua buah van serta tujuh motosikal turut dibawa bersama walaupun kami tidak mengundi, tetapi hadir memberi sokongan,” kata Adli.

Kehadiran penyokong luar turut menambah kemeriahan suasana dan meningkatkan semangat penduduk tempatan dan Adli menyaksikan ramai anak muda keluar mengundi yang menurutnya satu perkembangan baik.

“Dari pagi saya di sini, nampak anak muda ramai turun mengundi, menunjukkan kesedaran golongan ini semakin tinggi,” tambahnya.

Sementara itu, Hana Humaira Yusrizal, 19, seorang pengundi pertama kali, berkongsi pengalamannya.

“Saya teruja sebab kali pertama, Alhamdulillah dipermudahkan urusan dan selamat mengundi tadi,” katanya.

Hana menekankan bahawa ia adalah tanggungjawab sebagai penduduk Sungai Bakap untuk memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut ditadbir oleh orang yang bertanggungjawab.

“Saya tenang saja, tiada paksaan. Saya memang hadir untuk mengundi,” jelas Hana yang kini berada di tingkatan enam, manakala ada rakannya yang berada di matrikulasi.

Kehadiran penyokong dari luar kawasan dan penyertaan aktif pengundi muda mencerminkan semangat demokrasi yang tinggi dalam PRK Sungai Bakap.

Kemeriahan dan kesungguhan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia jelas terlihat di kalangan penduduk tempatan dan penyokong. – HARAKAHDAILY 6/7/2024

- Advertisement -