
BAGI penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, tempoh sembilan bulan lalu ketika DUN itu buat kali pertama berwakil rakyat Perikatan Nasional (PN), suara mereka sampai hingga sidang DUN Pulau Pinang.
Sebelum itu, tiga penggal diwakili Pakatan Harapan (PH) dari Parti Keadilan Rakyat, suara mereka tenggelam seolah-olah semua baik-baik belaka.
Namun sepanjang enam tahun lalu, penduduk menghadapi pelbagai masalah seperti gangguan bekalan air, jalan raya sesak dan banjir yang tidak diselesaikan. Apabila Pilihan Raya Kecil (PRK) ini diadakan, penduduk serik dan mahu PN terus mewakili mereka.
Ikuti suara hati penduduk Sungai Bakap yang diberitahu kepada wartawan Harakah, NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF.

Azlina Ahmad
Alhamdulillah, calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail adalah calon berjiwa rakyat. Dia memang orang tempatan, lahir di sini, membesar di sini dan mengetahui selok belok Sungai Bakap.

Nooraini Rosaaly
Abang Abidin memang calon dari rakyat kepada rakyat. Saya peniaga dan ibu tunggal memang terasa barang semua semakin mahal. Alhamdulillah masa Arwah Abang Zam dulu, dapat bantuan dan harap Abang Abidin pun akan terus membantu rakyat macam saya.
Nurul Asyiqin Shahrudin
Saya sebagai orang muda, Insya-Allah akan beri undi kepada calon Perikatan Nasional (PN) sebab kita tengok calon PN sebelum ini, walaupun dinafikan peruntukan tapi dia hampir dapat menyelesaikan masalah bekalan air yang menjadi keperluan asas kepada penduduk di sini.


Rosliza Mat Daud
Saya sebagai peniaga sendiri pun mendapati banyak barang yang naik harga. Nak berniaga pun susah kerana pembeli tanya mengapa sekarang barang mahal. Tapi kalau tak berniaga mana nak dapat rezeki. Saya dapat barang pun sudah mahal. Sekarang harga diesel pun naik, pengedar kata terpaksa naikkan harga sebab kos pengangkutan meningkat.
Mr Kang
Sejak dulu sampai sekarang masalah air tak selesai. Satu hari, lebih 10 jam tiada air. Walaupun tangki air sudah siap tetapi masih ada masalah air. Sehari dalam dua jam tiada air. Masa balik kerja nak mandi, nak masak susah tiada air.

Rumah saya ada empat orang, kena tunggu jam 11 malam baru boleh cuci pinggan…cuci baju. Waktu siang susah nak mencuci. Kena tunggu tengah malam baru boleh buat kerja rumah. Siang kita nak kerja pulak.

Khairul Ahmad Fitri Suhaimi
Dua minggu sebelum dan selepas perayaan besar mesti tiada air di Mukim 5. Pelbagai usaha kita lakukan tetapi tidak berjaya sehingga Alhamdulillah, arwah Abang Zam dapat menyuarakan suara kami di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Walaupun tiada peruntukan, ADUN PN tetap berusaha memberi khidmat kepada rakyat. Jadi kita harap calon PN akan menang dan meneruskan legasi Abang Zam.

Fatin Nur Liyana Suhaimi
Saya hairan kerana keadaan bekalan air tiba-tiba stabil semasa kempen Pilihan Raya Kecil.
Masalah bekalan air di Mukim 5 seperti di kawasan lain, memerlukan perhatian segera pihak berkuasa. Penduduk berharap sesi dialog yang diadakan tidak sekadar omong kosong dan tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi masalah ini secara berkesan.

Rohana Ghazli
Menurut beliau, perjuangan calon PN PRK N.20 Sungai Bakap itu adalah kesinambungan dari jasa-jasa ADUN Sungai Bakap, Allahyarham Nor Zamri Latiff yang telah banyak berjasa kepada rakyat.
“Kita bangga dengan jasa Abang Zam dan harap perjuangan beliau diteruskan oleh calon kita, Abang Abidin,” kata Rohana ketika ditemui Harakahdaily semasa proses penamaan calon hari ini.
Rohana juga menekankan pentingnya generasi muda dan wanita muda di Pulau Pinang untuk mengambil peluang ini bagi membawa perubahan yang lebih baik.
“Generasi muda akan membawa peluang baru ke arah yang lebih baik. Sekiranya kita masih leka, bagaimana kita nak hadapi masa akan datang dengan keadaan kerajaan Pulau Pinang yang semakin menekan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024




















