‘Hadiah misteri’ apa pula selepas ini?

Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap menjadi tumpuan seluruh negara.
- Advertisement -

TUMPUAN politik tanah air pada minggu ini sudah pasti akan terarah ke utara tanah air apabila bakal berlangsung hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.

Sepanjang dua minggu tempoh kempen berlangsung, banyak siri ceramah berskala kecil mahu pun besar diadakan oleh kedua-dua pihak yang bertanding bagi memenangi hati lebih 38,000 pengundi di kawasan DUN itu.

- Advertisement -

PRK pada kali ini berlangsung di sebalik pelbagai isu berbangkit mengenai kegagalan Kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Putrajaya, khususnya apabila melibatkan kenaikan kos sara hidup dan peningkatan harga bahan api diesel.

Penulis melihat PRK di Sungai Bakap bakal menjadi ‘hadiah misteri’ yang akan menanti bukan sahaja pengundi di kawasan itu, tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhan sebaik tamat siri PRK ini.

Mana tidaknya, jika dilihat kepada pasca PRK sebelum ini iaitu di Kuala Kubu Baharu (KKB), Kerajaan Madani telah bertindak menaikkan harga diesel yang telah menimbulkan kegusaran mengenai impak yang dihadapi.

Walaupun kerajaan ketika itu berkali-kali cuba menafikan perkara berkenaan, namun akhirnya isu tersebut benar-benar dilakukan oleh kerajaan tidak lama selepas PRK KKB tamat pada 11 Mei lalu.

Sekarang sudah dapat dilihat kesannya apabila banyak pihak, khususnya dalam sektor seperti pembinaan dan pelancongan berdepan dengan lonjakan kos operasi yang terpaksa ditanggung mahu tak mahu.

Sekarang ini pula hangat diperkatakan bahawa subsidi bahan api RON95 pula akan ditarik. Adakah pihak kerajaan berani untuk menafikan dakwaan tersebut? Atau adakah perkara itu benar, namun pelaksanaannya ditangguhkan disebabkan PRK Sungai Bakap?

Pelaksanaan inisiatif Budi Madani dan ‘fleet card’ dilihat tidak mampu untuk membantu hatta meringankan beban pengguna bahan api berkenaan. Bantuan RM200 sebulan dilihat sangat tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan.

Sekarang ini pula hangat diperkatakan bahawa subsidi bahan api RON95 pula akan ditarik. Adakah pihak kerajaan berani untuk menafikan dakwaan tersebut? Atau adakah perkara itu benar, namun pelaksanaannya ditangguhkan disebabkan PRK Sungai Bakap?

Oleh itu, PRK pada 6 Julai ini jelas akan menjadi satu episod baru yang akan dinanti-nantikan oleh rakyat Malaysia. Apakah agaknya ‘hadiah misteri’ yang bakal diterima oleh rakyat Malaysia selepas ini?

Harga bahan api diesel mereka sudah naikkan, harga barang pula semua banyak sudah naik. Kos sara hidup sudah lama meninggi, kadar inflasi pada Mei lalu pula dilaporkan naik sebanyak dua peratus. Tunggu nak naik harga petrol pula selepas ini.

Buat para pengundi di Sungai Bakap, anda bukan sahaja diberi peluang untuk memilih wakil rakyat bagi kawasan anda sahaja, tetapi suara dan undi anda juga akan menjadi wakil kepada jutaan rakyat Malaysia hari ini yang menolak kegagalan pentadbiran kerajaan PH-BN di Putrajaya. – HARAKAHDAILY 5/7/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -