Tunisia adakan pilihan raya presiden 6 Oktober

Presiden Tunisia, Kais Saied. (FOTO: Freedom House)
- Advertisement -

TUNIS: Presiden Tunisia, Kais Saied mengumumkan bahawa negaranya akan mengadakan pilihan raya bagi memilih presiden baharu pada 6 Oktober depan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya pada Selasa, beliau bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada akan bertanding dalam pilihan raya berkenaan ataupun tidak selepas tamat penggal lima tahun pemerintahannya bermula 2019, lapor Al Arabiya.

“Presiden republik ini mengeluarkan ‘decree’ (perintah undang-undang) pada hari ini, 2 Julai 2024, (waktu tempatan), memanggil pengundi untuk pilihan raya presiden pada Ahad, 6 Oktober 2024,” katanya menerusi kenyataan itu. 

- Advertisement -

Saied, 66, yang merupakan seorang pakar perlembagaan, menguasai sepenuhnya negara pada 2021, memerintah melalui ‘decree’ selepas beliau bertindak memecat perdana menteri dan parlimennya.

Beliau mempunyai perlembagaan baharu yang sebelum ini telah diluluskan oleh referendum pada 2022 yang mewujudkan sistem presiden dengan parlimen yang hanya mempunyai kuasa terhad.

Krisis politik yang tercetus di negara itu telah membebankan ekonomi Tunisia, dengan kadar pengangguran berada pada 15 peratus dan sekitar empat juta daripada 12 juta penduduk negara itu hidup dalam kemiskinan.

Pada Mei lalu, Saied secara mengejut telah menggantikan menteri dalam negeri dan hal ehwal sosial dalam rombakan kabinet yang dilakukan berikutan gelombang penangkapan aktivis hak asasi manusia, peguam dan wartawan.

Rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk pinjaman AS$2 bilion (RM9.5 bilion) telah terhenti sejak 2021, dengan Saied menolak pembaharuan yang dituntut oleh badan kewangan itu. 

Tetapi pada bulan Jun, Bank Pelaburan Eropah mengumumkan geran dan pinjaman bernilai US$480 juta (RM2 bilion) untuk menyokong projek infrastruktur serta perniagaan kecil dan sederhana.

Krisis-krisis yang berlaku itu telah mendorong beribu-ribu rakyat Tunisia untuk mencuba menyeberangi Mediterranean yang berbahaya, menggunakan bot dengan harapan untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -