
KUALA LUMPUR: Jentera Pakatan Harapan (PH) semakin terdesak dan ketandusan idea apabila mengitar semula modal ‘gelombang hijau’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Profesional Istiqamah dalam satu kenyataannya berkata, tindakan PH memasang sepanduk yang tertulis ‘Perpaduan untuk Sungai Bakap’ dalam Bahasa Melayu dan Tamil sebaliknya ‘tolak gelombang hijau, lindungi Sungai Bakap’ menampakkan usaha menakut-nakutkan pengundi Cina kepada calon PERIKATAN NASIONAL (PN) dari PAS.
“PRK N20 Sungai Bakap, PH dengan jelas menzahirkan hipokrasi mereka apabila sepanduk yang bertentangan, terpasang sepanduk yang tertulis ‘tolak politik perkauman’.
Kaedah ‘fearmongering’ ini sering digunakan oleh DAP dalam mendapatkan undi dari bukan Melayu khususnya bangsa Cina.
“PRK Sungai Bakap sekali lagi menjawab persoalan berkaitan pihak mana yang menggunakan politik perkauman, kebencian, sentimen dan persepsi,” katanya menerusi kenyataan itu.
Menurutnya lagi, gelombang hijau adalah label yang dirintis oleh Lim Kit Siang selepas kemenangan besar PN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas, dengan menyingkap maksud penglabelan ‘Green Wave’ yang terkandung unsur Islamophobia dan konotasi negatif kepada PN khususnya PAS.
“Menjenamakan koalisi PH-BN dengan ‘Kerajaan Perpaduan’ tiada sebarang makna kerana tindakan mengitar semula kempen kotor ini akan membina syak wasangka dan bibit-bibit kebencian kaum Cina kepada orang Melayu, sekaligus menggandakan jurang perkauman.
“Sebaliknya, Abang Zam, bekas penyandang Sungai Bakap membuktikan sebaliknya apabila sepanjang sembilan bulan bergelar wakil rakyat, tiada sebarang perselisihan dan krisis yang timbul dengan bukan bumiputera, malah beliau menyantuni rakyat secara saksama merentas bangsa dan agama,” tambahnya.
Menariknya, menurut Profesional Istiqamah, bakal penyambung legasi Abang Zam iaitu Abang Abidin (Abidin Ismail) juga mempunyai hubungan yang baik dengan kaum Cina setempat dan tepat kerja lamanya sehingga beliau sedikit sebanyak menguasai bahasa Mandarin.
“Iltizam politik damai yang dicanangkan calon PH seperti pepatah ‘menanam tebu di bibir’ sahaja. Sayugianya pengundi Sungai Bakap memilih Abang Abidin dalam PRK nanti, calon rakyat yang tidak memilih bulu malah dikelilingi oleh pendokong yang berakhlak dan matang,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024




















