Jabatan Audit perlu siasat penjualan saham MAHB

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Terdapat banyak perkara yang mencurigakan yang perlu disiasat oleh Jabatan Audit Negara berkaitan dengan penjualan sebahagian pegangan Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada GIP-BlackRock.

- Advertisement -

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, ia selaras dengan Rang Undang-undang Audit (Pindaan 2024) yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat ketika ini.

Jelasnya, pindaan yang bakal dilakukan itu sangat baik, malah beliau mahu agar Jabatan Audit Negara terus menyiasat transaksi penjualan saham MAHB kepada BlackRock itu.

“Kenapa saya katakan begini? Pengumuman kerajaan tempoh hari oleh Menteri MITI untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang menggunakan dana awam yang mana MAHB selaku pengurus lapangan terbang tersebut sedang diswastakan.

“Jadi bila ada pindaan ini, maka kebertanggungjawaban dari segi pengurusan dana awam untuk mana-mana entiti yang sudah diswastakan, adalah satu tatakelola yang tidak baik, it’s a bad governance,” katanya sewaktu mengambil bahagian dalam perbahasan bagi pindaan akta tersebut di Dewan Rakyat hari ini.

Kata beliau, dengan pindaan tersebut, apabila terdapat kes-kes sebegitu, ia memberi peluang kepada rakyat untuk bertanya dan mempersoalkan ketelusannya.

“Bila mana kita sudah delist, menyahsenaraikan MAHB daripada bursa, kita tidak tahu butiran-butiran di ruangan awam. Apa yang akan berlaku; kontrak mana yang diberikan. Tidak ada ketelusan dari segi itu.

“Ini menyebabkan kalau kita lihat, kita bimbang urus niaga ini akan menimbulkan masalah kerana ketidakatuhan terhadap tatakelola,” katanya.

Beliau turut mengambil contoh apa yang berlaku di Sydney tahun lalu di mana Lapangan Terbang Sydney yang diurus GIP-BlackRock menanggung kerugian RM1.9 bilion.

“Jadi di mana bagusnya GIP-BlackRock ni yang kita nak sangat bawa masuk ke dalam MAHB menguruskan aset strategik kita?” soalnya.

Malah, tambah Wan Fayhsal, Khazanah sebagai sebagai salah satu pemegang saham utama dan antara entiti yang memacu penswastaan MAHB itu pun boleh dipersoalkan dari segi track record governance dari segi urus niaga.

“Saya ambil contoh apa yang berlaku terhadap Axiata. Khazanah masuk beli saham USD1.4 bilion (tahun) 2016. Tahun 2023 terpaksa jual sebanyak USD50 juta. Kerugian lebih 98 peratus.

“Jadi Jabatan Audit Negara kena siasat mereka ni dibayar gaji beratus ribu lebih daripada Ahli-ahli Parlimen, tapi bila ada kerugian yang sebegini yang kena pada ahli-ahli politik. Yang menguruskan dana-dana ini tidak kena,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -