
NIBONG TEBAL: Dakwaan Timbalan Presiden PRK Rafizi Ramli kononnya Unit Daerah Mengundi (UDM) Pilihan Raya PERIKATAN NASIONAL (PN) Sungai Bakap lumpuh dan ditutup dianggap jelik dan melampau.
Pengarah Pilihanraya PAS Kota Bharu, Shaari Mat Yaman berkata, petugas pilihan raya dari Kelantan bertugas di Bilik Operasi Sungai Bakap yang beroperasi hampir 24 jam.
Katanya, Bilik Operasi itu terletak di Unit Daerah Mengundi Sungai Bakap dibantu petugas-petugas pilihan raya dari Kelantan.
“Sepanjang saya berada di situ beberapa hari lepas bilik operasi terbabit antara yang sibuk dan meriah dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah, jualan murah, rawatan assyifa dan aktiviti mewarna kanak-kanak.
“Kenyataan PKR terbabit jelas bersifat murahan dan dangkal kerana melulu tidak sepadan kedudukannya sebagai seorang berstatus menteri,” katanya di sini.
Terdahulu tular rakaman video kenyataan Rafizi pada satu ceramah perpaduan di Sungai Bakap mendakwa dua UDM milik PN ditutup berikutan sokongan pengundi Melayu menurun.
Malah, Timbalan Ketua Pemuda PN Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias menjelaskan UDM di Sungai Duri dan Sungai Bakap beroperasi seperti biasa sehingga sekarang.
Shaari yang juga Penyelaras Pilihanraya Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kelantan berkata, beliau dipertanggungjawab menyelaras jadual wakil-wakil rakyat dari Kelantan membantu kempen di PRK Sungai Bakap.
“PAS Kota Bharu sejak hari penamaan calon menghantar petugas mengikut lima gelombang bagi membantu kempen calon PN Abidin Ismail,” ujarnya.
Oleh itu, beliau mengajak pengundi di Sungai Bakap menolak pemimpin parti yang tidak konsisten dalam menawarkan perkhidmatan dan kebajikan kepada rakyat.
“Masa kempen pilihan raya sebelum ini pemimpin PH menjanjikan mahu menurunkan harga minyak, namun yang berlaku sekarang di sebaliknya,” tambah beliau yang juga ADUN Bunut Payong. – HARAKAHDAILY 3/7/2024











