
KUALA TERENGGANU: Momentum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap oleh jentera PERIKATAN NASIONAL (PN) berada pada tahap yang baik.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan demikian berdasarkan maklum balas diterima daripada pimpinan parti serta kumpulan penyelidik yang berada di lapangan ketika ini.
“Kita lihat momentum yang semakin baik ke arah kemenangan.
“Pecutan terakhir ini insya-Allah kita akan cuba melakukan sedaya upaya, sebagaimana permainan bola, bola itu bulat, gol terbuka kedua belah pihak.
“Berada dalam situasi yang ada sekarang ini dengan pelbagai isu peringkat nasional dan tempatan, saya percaya insya-Allah kita masih sangat positif untuk mencapai kemenangan di Sungai Bakap,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Majlis Penyerahan Bayaran Bantuan Khas ‘ One-Off’ tahun 2023 kepada imam ketiga Masjid Mukim Negeri Terengganu, di Perkarangan U2, Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, PN berpotensi untuk mencapai kemenangan di Sungai Bakap berdasarkan usaha kempen yang telah diperbaharui dari sebelum ini.
“Kerjasama yang ditunjukkan oleh jentera dalam PN sangat baik, yang kita rasa telah ditambah baik berbanding dengan jentera yang ada sebelum ini di pilihan raya yang kecil sebelum ini.
“Jadi kita cuba buat pecutan terakhir insya-Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024




















