Audit: Perlu ada jumlah minimum yang munasabah

Dr Halimah Ali
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) dijangka memperbaiki dan memperkukuh tatakelola seperti memperluaskan skop audit dengan memasukkan entiti yang menerima jaminan kewangan kerajaan.

- Advertisement -

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, Jabatan Audit Negara (JAN) memaklumkan pindaan tersebut membabitkan pewujudan peruntukan baharu dan pindaan kepada peruntukan sedia ada iaitu pengauditan badan lain, termasuk syarikat di mana kerajaan mempunyai kepentingan dalam bentuk jaminan kewangan.

“Berapakah jumlah jaminan kewangan minimum yang diberi oleh kerajaan sehingga ianya akan mengambil perhatian daripada Ketua Audit Negara di mana skop audit telah diperluaskan dengan memasukkan entiti yang perlu diauditkan?

“Oleh itu saya berpendapat perlu ada jumlah minimum yang munasabah yang memungkinkan Ketua Audit Negara memberikan tumpuan kepada masa, peribadi dan segalanya untuk diauditkan kerana ada keutamaan kerja dan tumpuan.

“Jika diikutkan memang banyak aduan yang boleh dilayankan, jadi apakah had Ketua Audit Negara yang akan memberikan satu penanda aras untuk diambil tindakan?” katanya dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Audit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, Ketua Audit Negara perlu bersifat neutral bagi semua pihak dari segi memberi syor dan teguran.

“Jadi Kapar mahu Ketua Audit Negara memberikan tumpuan dan fokus demi keutamaan pihak kerana lazimnya aduan terdiri daripada pelbagai kategori.

“Antaranya adalah aduan awam dan saingan ekonomi, manakala syarikat yang pindaannya yang mungkin mempunyai lawan atau musuh ekonomi, ataupun aduan daripada saingan politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/7/2024

- Advertisement -