Elak penyelewengan: Pisahkan dua jawatan penting dipegang PMX

Syahir Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bermatlamat mengelakkan penyelewengan daripada berlaku, kerajaan dicadangkan supaya melakukan pemisahan dua jawatan penting, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dipegang oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) pada ketika ini.

Syahir Sulaiman (PN-Bachok) berkata, perkara sama turut diutarakan oleh wakil kerajaan, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi perbahasan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

- Advertisement -

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan sebarang bentuk ketidakpatuhan dan pelanggaran tatakelola yang menyumbang kepada penyelewengan, ketirisan dan pembaziran dana awam.

“Fasa tiga dalam Rang Undang-Undang (RUU) ini memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengeluarkan apa-apa garis panduan yang turut disuarakan oleh Pasir Gudang sebentar tadi, saya amat tertarik.

“Ia mengenai pemisahan jawatan Perdana Menteri dari portfolio Menteri Kewangan, agar sebarang penyelewengan dapat dikesan lebih awal oleh pasukan juruaudit,” katanya.

Berhujah dalam sesi perbahasan RUU Audit (Pindaan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, beliau turut meminta jaminan kebebasan Ketua Audit Negara melaksanakan tugasnya.

Malah katanya, perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan supaya tidak dipengaruhi, ditekan mahupun diancam kerana bidag kuasa yang luas melakukan audit membabitkan semua pihak.

“Apakah jaminan ruang kebebasan ini akan terpelihara dan apakah panduan yang akan digunapakai dalam menentukan asas pemilihan pihak yang diaudit dibawah pindaan akta ini?” soal Syahir.

Sementara itu, terdahulu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta kerajaan melakukan pemisahan kuasa PMX bagi mengelakkan penyelewengan wang rakyat dalam isu SRC International tidak berulang.

“Kita dapat lihat wang ini yang dijamin oleh kerajaan (sebelum ini) digunakan untuk buat filem Hollywood, beli kapal layar beli barang kemas dan sebagainya, jadi saya menyokong pindaan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -