Kempen PN rancak, komponen PH tak bantu calon?

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman memberikan penilaian bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) berada di kedudukan yang kuat berbanding Pakatan Harapan (PH) di PRK N.20 DUN Sungai Bakap, di sini.

- Advertisement -

Menurutnya, sepanjang dua kali mengikuti kempen lapangan calon PN, Abidin Ismail beliau menyaksikan sendiri Abang Abidin menerima reaksi sangat positif di mana begitu dikenali, dirai, diterima dan mesra dengan sesiapa sahaja yang ditemui.

“Dapat lihat calon kita ni memang sangat dikenalilah. Kita pergi pasar, kita pergi kenduri kita pergi kedai makan, kita pergi tempat futsal, tempat sukan ramai dah kenal termasuk kalau di pasar Bandar Tasik Mutiara itu jumpa ramai.

“Orang Cina, orang India, orang Melayu apatah lagilah dan nampak mesra sangat mereka mesra dengan calon kita ni (Abang Abidin),” ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS.

Beliau membutirkan gambaran tersebut sebagai membalas dakwaan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli kononnya PN telah hilang modal dan tiada sebarang isu hendak dibawa pada pertembungan pesta demokrasi tersebut.

Bidas Syahir, realiti berlaku di Sungai Bakap adalah PH yang sedang kehilangan modal di mana terpaksa menjawab setiap isu dibangkitkan PN dan penduduk serta pelbagai pihak lain, namun dalam keadaan tidak dapat memberi jawapan.

“Khususnya isu nasional. Isu kenaikan harga barang, kenaikan harga diesel, lepas ini mungkin harga petrol, isu MAHB (Malaysia Airport Holdings Berhad) dan BlackRock. Termasuk juga isu-isu local, isu tempatan yang gagal dijawab dengan baik.

“Isu berkenaan bekalan air di Sungai Bakap ini memang sejak lama, dah lama, tapi masih gagal ditangani oleh kerajaan negeri khususnya,” ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.

Syahir juga sebagai menjawab dakwaan Rafizi memberitahu, berdasarkan penelitiannya secara langsung di Sungai Bakap mendapati gerak kerja kempen PN dapat lihat dengan jelas padat dengan pelbagai program dan aktiviti.

Malah calon sendiri katanya, melaksanakan kempen secara berfokuskan rumah ke rumah di samping program penerangan, ceramah-ceramah berkelompok yang dibuat dan dianjurkan sepenuhnya dengan penglibatan jentera parti-parti komponen PN.

Beliau turut melihat semua aktiviti dilaksanakan terdapat penglibatan pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina dan India, sebaliknya acara di pihak PH lebih kelihatan penganjurannya sebagai program kerajaan menerusi kementerian atau agensi.

“Tapi tidak banyak program yang dianjurkan oleh PH ataupun PKR sendiri dan kelihatan Jentera Umno, Jentera PAN pun kelihatan tidak bersungguh atau dalam kata erti kata lain tidak kelihatan, termasuklah DAP bagi membantu calon PKR itu.

“Berbeza dengan kesungguhan gerak kerja yang berfokuskan dan kempen yang bersasar di pihak PN. Jadi insya-Allah kita harapkan momentum ini berterusan dan rakyat akan memilih pemimpin yang benar-benar jujur dan ikhlas.

“Saya menyeru anak muda supaya pastikan menolak politik penipuan dan politik aduan adu domba yang dibuat oleh PH pada hari ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -