
KUALA LUMPUR: “Perlu ke kerajaan menyalahgunakan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menekan seorang rakyat biasa yang bersuara mengenai syarikat BlackRock Inc (BlackRock)?”
Itu persoalan yang diluahkan Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid mengenai kes seorang pempengaruh media sosial, Naemah Rafiqul Islam yang telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (IPD) Bukit Aman, hari ini, hanya kerana melontarkan pandangan peribadinya mengenai isu BlackRock.
“Beliau (Naemah Rafiqul) hanya berkongsi pandangan menentang sekeras-kerasnya isu pelaburan Global Infrastucture Partners (GIP) milik BlackRock (terhadap sebahagian saham Malaysia Airports Holding Berhad/MAHB) yang jelas menunjukkan sokongan kepada rejim Zionis Israel.
“Beliau hanya berkongsi perkara sebenar iaitu sekiranya kerajaan masih ingin menjual sebahagian saham MAHB, maka banyak implikasi akan berlaku dalam negara ini,” katanya pada sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Selain Naemah Rafiqul, turut hadir ialah aktivis bebas, Mytheyar Mutturamalinggam.
Terdahulu, di bawah pelan yang diumumkan kerajaan sebelum ini, GIP yang dimiliki BlackRock dilaporkan akan memegang sebanyak 30 peratus kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB, bersama dana pelaburan kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); menyaksikan kedua-dua entiti di bawah bidang kuasa kementerian kewangan yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Rafique lagi, tindakan kerajaan dalam melakukan sedemikian adalah jelas bersifat keterlaluan memandangkan Naemah hanya merupakan seorang rakyat biasa negara ini.
Tambah beliau, pandangan Naemah sendiri tidak mewakili mana-mana parti politik yang mana seharusnya tidak perlu diambil apa-apa tindakan.
“Naemah disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana kononnya ucapannya berniat untuk menimbulkan ketakutan atau kegusaran kepada orang awam sehinggakan telefonnya turut dirampas.
“Bagaimana beliau boleh disiasat dengan sebegini rupa sedangkan apa yang disampaikan adalah perkara yang benar? Lagipun kita bukan hanya bercakap soal syarikat yang pro-Zionis semata-mata tetapi juga mengenai keselamatan dalam negara ini.
“Maka, takkan kita nak beri lapangan terbang negara ini diuruskan oleh syarikat yang jelas pro-Zionis?” soalnya.
Sementara itu, Naemah meluahkan kekecewaan susulan perkara tersebut, sedangkan niat beliau hanya kerana ingin membela nasib rakyat Palestin.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya mengadakan sebarang kerjasama dengan mana-mana syarikat yang bersupahat dengan kezaliman Israel terutamanya BlackRock.
“Namun begitu, saya akan tetap berjuang membela rakyat Palestin kerana saya tidak mahu kerajaan Malaysia untuk bersekongkol dengan BlackRock yang bertanggungjawab bunuh ramai rakyat Palestin,” tegasnya.
Sehubungan itu, Naemah berharap agar kerajaan tidak meneruskan perjanjian dengan syarikat tersebut memandangkan nasib rakyat Palestin perlu diberikan perhatian.
“Apa pun saya akan teruskan perjuangan ini dan mudah-mudahan semakin ramai lagi rakyat negara kita faham bahayanya syarikat BlackRock ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024




















