
KUALA LUMPUR: Fakta bahawa hanya kira-kira 100,000 pemilik kenderaan diesel di negara ini yang menerima bantuan Budi Madani telah menimbulkan persoalan.
Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN Rompin) berkata, jumlah itu adalah 10 peratus sahaja daripada keseluruhan jumlah kenderaan diesel di negara ini.
“Soalan saya, daripada sejuta lebih ini Yang Berhormat Menteri, kenapa hanya 100,000 yang menerima bantuan Budi Madani? Hanya lebih kurang 10 peratus sahaja?” kata beliau.
Beliau menimbukkan persoalan tersebut tatkala mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal beliau dalam Sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam soalan asalnya, beliau meminta Menteri Kewangan menyatakan berkaitan penyelarasan subsidi diesel yang akan dilaksanakan dengan memberi bantuan Budi Madani kepada pemilik kenderaan diesel M40 dan B40, adakah langkah ini merupakan satu jalan terbaik bagi membanteras penyeludupan diesel rentas sempadan.
Beliau dalam soalan yang sama turut meminta penjelasan Menteri berkaitan bantuan yang diberikan kepada golongan penternak dalam menangani isu itu.
“Apakah usaha proaktif yang diambil untuk memastikan tiada golongan yang tercicir seperti mana yang berlaku kepada golongan penternak akuakultur?
“Di mana sehingga awal Jun 2024 dilaporkan hanya 1,232 penternak akuakultur yang telah membuat permohonan Budi Madani berbanding jumlah keseluruhan seramai 7,900 penternak di seluruh Semenanjung,” hujahnya.
Sementara itu, Menteri Kewangan kedua, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam jawapannya berkata, setakat 1 Julai 2024 sekitar 115,000 pemilik kenderaan diesel diluluskan Bantuan Tunai Budi Individu, manakala jumlah yang layak menerima Budi Individu adalah sekitar 300,000 orang.
“Terdapat kemungkinan di antara individu yang layak atas (kemahuan) sendiri tidak ingin memohon. Berdasarkan data LHDN di kalangan yang layak diperhatikan lebih 100,000 individu tiada rekod mengemukakan borang nyata cukai pendapatan untuk sekurang-kurang lima tahun walaupun di bawah umur persaraan.
“Sementara, kebanyakan daripada yang tidak mempunyai bantuan tunai juga tiada rekod cukai LHDN, mungkin kebetulan. Walau pun berdasar data JPJ hampir 1.2 juta kenderaan persendirian diesel,” ujarnya.
Mengulas tentang sektor akuakultur, beliau berkata, kerajaan telah menyediakan beberapa bantuan subsidi antaranya Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 untuk kenderaan logistik supaya dapat kekal membeli diesel pada harga RM2.15 seliter.
“Kerajaan juga telah menyediakan bantuan tunai RM200 sebulan atau RM2400 setahun bagi petani kecil dan pekebun kecil yang takrifkan menghasil jualan pertanian di antara RM50,000 dan RM300,000 setahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/7/2024




















