KDN FC II lonjak tangga teratas Piala MFL

- Advertisement -

KOTA BHARU: Dua pasukan di bawah Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) mencatat kemenangan pada perlawanan petang semalam dan malam tadi.

Ia menyaksikan kedua-dua KDN FC II dan KDN FC III berjaya mengutip tiga mata penuh pada persaingan liga peringkat umur.

- Advertisement -

Pesta kemenangan bermula petang semalam setelah KDN FC III bimbingan Zahariman Ghazali menundukkan Sri Pahang FC 3-2 di Padang A, Muadzam Shah.

Aksi yang berlangsung sengit itu menyaksikan skuad bawah 20 tahun Sang Kijang Emas mendahului seawal minit kesembilan menerusi jaringan Arrif Hakimie.

Babak kedua, Sri Pahang FC memperkemaskan rentak dan berhasil menyamakan kedudukan pada minit ke-85 melalui sepakan penalti Syamil Haiqal.

Hasrat Sri Pahang FC untuk mengutip mata tidak kesampaian setelah Izzat Fathi muncul wira KDN FC III berjaya menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan dengan mengutip tiga mata.

Sementara KDN FC II mengejutkan Selangor FC 2-1 pada saingan Piala MFL 2024 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Selangor FC bermula garang apabila Muhammad Faiz Amer menanduk masuk jaringan pembukaan selepas menerima hantaran sepakan sudut pada minit keempat.

KDN FC II menyamakan kedudukan setelah Wan Mohd Fazli memanfaatkan hantaran Asraff Aliffuddin Yasin dengan rembatan rendah ke gawang Merah Kuning.

Wan Mohd Fazli akhirnya menyudah dengan sepakan kencang dari jarak 20 meter membolos gawang Selangor FC dan memberi kemenangan buat KDN FC II pada minit ke-52.

Dengan kejayaan diraih skuad kendalian Khairan Eroza Razali, KDN FC II melonjak ke tangga teratas carta Piala Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan meneruskan rekod bersih tanpa kalah untuk perlawanan keempat berturut-turut. – HARAKAHDAILY 2/7/2024

- Advertisement -