Subsidi petrol RON95 bakal dimansuhkan? 

Ismail Abd Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi digesa memberikan kepastian sama ada subsidi bagi petrol RON95 bakal dimansuhkan seperti yang berlaku sebelum ini berlaku terhadap diesel.

Dato’ Sri Dr Ismail Abd Muttalib (PN Maran) mengajukan persoalan mengenai perkara tersebut sebagai soalan tambahan sewaktu sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini. 

- Advertisement -

“Buletin Suku Pertama 2024 Bank Negara Malaysia mengunjurkan bahawa inflasi keseluruhan bagi tahun 2024 dijangka naik sekitar 2.0 hingga 3.5 peratus.

“Jadi,saya ingin bertanya apakah kerajaan akan juga melakukan penyasaran subsidi dan menaikkan harga (petrol) RON95?” soalnya.

Beliau turut meminta penjelasan kerajaan terhadap jangkaan faedah kepada negara yang difikirkan oleh kerajaan sekiranya ia diputuskan untuk dilaksanakan.

“Apakah pula kesan negatif yang akan diterima oleh rakyat termasuklah kesan peningkatan inflasi di negara kita,” soalnya lagi.

Tambah Dr Ismail, semenjak penyasaran subsidi diesel dan harga diesel dinaikkan majoriti rakyat dalam negara ini menghadapi tekanan hidup yang cukup tinggi.

“Pertama, orang miskin dan juga tidak kurang orang yang maha kaya kerana kerajaan jangan lupa orang yang maha kaya juga memberikan sumbangan kepada negara melalui ekonomi dan juga pekerjaan yang diwujudkan mereka,” hujah beliau.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Hanifah Hajar Taib dalam jawapannya berkata bahawa beliau tidak dapat memberikan jawapan.

“Ia adalah salah satu soalan cepumas yang saya tak dapat jawab kerana ia adalah sesuatu yang perlu berbincang antara kabinet.

“Saya harap bahawa apakah dari segi impak yang akan laksanakan dilaksanakan, adalah supaya minimalnya demi kepentingan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -