
SHAH ALAM: Momentum dan pencapaian institusi agama/tahfiz yang sedang memuncak diharap diberikan perhatian oleh pelbagai pihak yang berkepentingan seperti kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, sekolah-sekolah swasta, pihak industri, NGO, ahli akademik dan masyarakat seluruhnya agar sistem pendidikan di Malaysia akan dibangunkan secara lebih holistik.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Ab Halim Tamuri berkata, mutakhir ini semakin ramai rakyat Malaysia memilih dan memberi keutamaan untuk menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Menengah Agama atau Sekolah Tahfiz.
“Ramai mula menyedari bahawa subjek agama dan tahfiz adalah merupakan satu nilai tambah yang signifikan kepada institusi pendidikan di semua peringkat termasuk institusi pengajian tinggi, IPTA dan IPTS dalam melahirkan pelajar dan graduan yang cemerlang.
“Masyarakat hari ini juga semakin cenderung untuk melihat supaya lebih ramai golongan teknokrat, saintis, profesional dan cendekiawan adalah dari kalangan mereka yang menghafaz al-Quran, yang diyakini dapat membawa nilai tinggi sumber manusia kepada kemajuan dalam semua sektor industri negara,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras menegaskan, prestasi akademik yang lebih cemerlang, khususnya dalam pencapaian keputusan SPM, berbanding pelajar-pelajar dari aliran yang lain pada dua dekad terakhir ini membuktikan bahawa institusi agama/tahfiz adalah merupakan jalur terbaik dalam membina kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik.
Bahkan menurutnya, gabungan subjek antara tahfiz dan sains juga dilihat telah berjaya mencapai tahap dan prestijnya yang tersendiri dalam beberapa model di negara Malaysia seperti penggabungan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT), program TVET dan pembelajaran bahasa ketiga seperti Jerman, Jepun, Perancis, Mandarin dan Arab dalam pengajian mereka.
“Sekarang adalah waktu yang paling tepat supaya program ini dicorak untuk dikembangkan lagi ke peringkat yang lebih bersifat lokal, luas dan ke tahap seterusnya seperti program pembudayaan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM), Artificial Intelligence (AI), Internet of Things (IoT), Big Data Analytics, Robotics Technology, Renewable Energy, Food Sovereignty dan Teknologi Nuklear dalam kurikulum mereka.
“Dalam usaha kita menjadikan Islam sebagai teras kepada pembangunan tamadun negara kita dan dunia secara amnya, institusi agama/tahfiz adalah potensi kecemerlangan yang terbaik untuk dihidangkan kepada murid- murid di negara kita pada waktu ini.
“Program-program seperti ini perlu dikembangkan agar pendidikan bersepadu dapat dilaksanakan pada semua peringkat sistem pendidikan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024




















