
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) membentangkan beberapa isu yang didapatinya ketika mengadakan lawatan Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan di Sarawak baru-baru ini.
Alias berkata, antara isu yang ditimbulkan adalah dari segi perkhidmatan iaitu kekurangan doktor dan fasiliti kesihatan seperti digital X-ray.
“Mereka memerlukan sumbangan, lalu Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol telah memberikan sumbangan RM200,000 kepada pihak tersebut kerana tiada peruntukan daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Oleh demikian, beliau meminta kerajaan menyatakan perancangan khusus KKM bagi menangani fenomena tersebut dan juga fenomena penghijrahan bakat.
“Adakah KKM akan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam bidang tanggungjawab iaitu perkhidmatan kesihatan negara dan tidak terlibat dalam latihan kebakaran di mana KKM bukan pun entiti penyedia pendidikan tinggi yang sepatutnya diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)?” katanya.
Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan dalam soal jawab Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Ahli Parlimen Kuala Langat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata latihan kepakaran di bawah KKM melibatkan RM150 juta setahun.
“Bagi saya, alangkah baiknya jika peruntukan tersebut diberikan keutamaan untuk meningkatkan kemudahan fasiliti kesihatan di seluruh negara terutamanya di negeri yang masih daif di Sarawak berbanding dengan kita menumpukan pendidikan ataupun untuk melatih kepakaran di bawah KKM itu sendiri,” katanya lagi.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementeriannya sedia maklum akan isu tersebut dan bertanggungjawab untuk mengawal selia dan meregulasi bagi seluruh sektor kesihatan di seluruh negara termasuk swasta yang dikatakan sebagai sistem penghantaran penjagaan kesihatan.
Dzulkefly berkata, kementeriannya tidak mudah mengambil satu sikap untuk membuat pilihan binari sama ada fasiliti kesihatan dan membekalkan fasiliti dalam pendidikan, kepakaran atau sarjana muda.
Tambah beliau, perkara ini juga tidak mudah untuk melaksanakan dalam konteks mengawal selia dan mengurus seluruhnya hantaran kesihatan ataupun perkhidmatan kesihatan ini.
“Oleh itu, cara kita menangani untuk menentukan beberapa strategik yang dianggap sebagai penting untuk kita bekalkan bagi kita meningkatkan lagi sebagai sistem dan juga penghantaran dan pilihan seperti mana Yang Berhormat Kuala Nerus sebutkan itu.
“Kesemua mesti digarap dalam segerap perangkaan, kegiatan, cerakinkan, pelaburan dan perbelanjaan kerana semuanya penting. Cuma ada perkara yang lebih penting daripada yang ‘penting-penting’ itu disitulah penentuan menteri untuk meletakkan belanjawan pada tempatnya.
“Di situlah cabarannya menteri dan kementeriannya. Jadi itulah yang sedang kami garap untuk meningkatkan lagi perkhidmatan dan sistem hantaran kesihatan di negara ini dan seluruhnya,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/7/2024




















