Pilihan Raya Parlimen Perancis: Parti pembangkang mendahului

Marine Le Pen (kiri) dan Emmanuel Macron
- Advertisement -

PARIS: Parti pembangkang, parti Perhimpunan Kebangsaan (RN) yang berhaluan kanan mendahului pusingan pertama dalam Pilihan Raya Parlimen Perancis yang berlangsung pada Ahad, waktu tempatan.

Berdasarkan keputusan awal yang dikeluarkan, parti pimpinan Marine Le Pen itu mendahului jumlah undi keseluruhan apabila memperoleh sebanyak 34 peratus undi, sementara gabungan parti Barisan Popular Baharu (NFP) yang berhaluan kiri berada di tempat kedua dengan undian sebanyak 28.1 peratus. 

- Advertisement -

Sementara itu, gabungan parti kerajaan yang dipimpin oleh Presiden Emmanuel Macron, Ensemble sekadar berada di tempat ketiga selepas memperoleh hanya 20.3 peratus dalam pilihan raya berkenaan yang menyaksikan peratusan keluar mengundi dicatatkan tinggi, lapor CNN.

Walaupun RN berada di landasan untuk memenangi kerusi terbanyak dalam parlimen, ianya mungkin kurang daripada 289 kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan, menyaksikan Perancis mungkin menuju ke situasi parlimen yang tergantung dan lebih banyak ketidaktentuan politik.

Unjuran menunjukkan bahawa, selepas pusingan kedua pengundian Ahad (7 Julai) ini, RN akan memenangi antara 230 dan 280 kerusi di parlimen yang mempunyai 577 kerusi, peningkatan yang mengejutkan daripada kiraan 88 sebelum ini. NFP pula diunjurkan memperoleh antara 125 dan 165 kerusi, dengan Ensemble mengekori antara 70 hingga 100 kerusi, lapor Ipsos. 

Macron dalam pada itu telah menyeru pembentukan pakatan demokratik yang lebih meluas bagi menentang parti RN berhaluan kanan yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan negara.

“Berdepan dengan parti RN, masanya telah tiba untuk membentuk pakatan yang luas, jelas secara demokratik untuk menghadapi pusingan kedua. Peratusan keluar mengundi yang tinggi pada pusingan pertama menunjukkan kepentingan undi ini untuk semua rakan senegara kita dan keinginan untuk menjelaskan keadaan politik,” katanya. – Agensi/– HARAKAHDAILY 1/7/2024

- Advertisement -