
NIBONG TEBAL: Perlawanan bola sepak seharusnya kekal dilihat sebagai satu aktiviti sukan dan bukannya medan berpolitik atau dipolitikkan, demikian kata Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad.
“Jangan ‘pulun’ (berlebih) sangat, kita bukan nak berpolitik sepanjang masa, perlawanan persahabatan saja. Menang kalah adat pertandingan,” ujarnya ketika ditemui di Walkathon Wanita Sejahtera di Flat Mutiara Jaya, di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Pengarah Strategi PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang membatalkan perlawanan bola sepak pihaknya dengan pasukan Pengarah Pilihan Raya PN, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dr Mastura turut memuji sikap berlapang dada Sanusi kerana tetap hadir dengan pasukannya sepertimana telah dipersetujui yang jelas menunjukkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) diamalkan pemimpin PAS itu.
Perlawanan tersebut tercetus apabila Akmal sendiri mencabar pihak Sanusi untuk diadakan sempena PRK N.20 DUN Sungai Bakap di mana sebelum itu Timbalan Menteri tersebut membidas Menteri Besar Kedah dalam isu Loji Rawatan Air.
Akmal telah mempersiapkan pasukan terdiri daripada kalangan pemain dan bekas pemain profesional negeri dan negara, manakala pasukan Sanusi diwakili ADUN, Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat PERIKATAN NASIONAL (PN).
Bagaimanapun di saat akhir Akmal mengumumkan pembatalan perlawanan tersebut dengan membuat pelbagai dakwaan tuduhan terhadap Sanusi dan mengubah perlawanan kepada bersama pihak calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Arifin.
Perlawanan yang berkesudahan dimenangi oleh pasukan Akmal dengan jaringan 3-2 mengatasi saingan pasukan Sanusi itu telah berlangsung harmoni ditonton ramai di Padang Awam Taman Pekatra, di sini petang semalam.
Netizen di media sosial dalam pada itu menghamburkan pelbagai kekesalan dan kecaman terhadap retorik politik dan dolak-dalih Akmal untuk bersemuka Sanusi di medan sukan yang tidak sepatutnya dipolitikkan itu. – HARAKAHDAILY 1/7/2024












